Proses Pemakaman Jenazah Suci Rasulullah Muhammad SAW

Posted on

Pengebumian Jenazah suci Rasulullah s.a.w

 

 

Setelah urusan perlantikkan Khalifah selesai maka Abu Bakar dan para Sahabat bergegas ke rumah Baginda untuk menguruskan jenazah. Pada hari Selasa 13 Rabiul Awal jasad Baginda dimandikan dengan dipimpin oleh Ali bin Abi Talib, Abbas bin Abdul Mutalib, Fadl bin Abbas, Qusam bin Abbas, Usamah bin Zaid, Syaqran Maula Muhammad (bekas hamba Baginda) dan Aus bin Khawli. Fadl dan Qusam (anak Abbas) membalikkan jasad Baginda, Usamah dan Syarqan menjirus air, Ali mengosokkan dan Aus bin Khawli menyandarkan jasad Baginda ke dadanya. Baginda dimandikan tanpa ditanggalkan pakaiannya.

 

 

Kemudian Baginda dikafankan dengan penuh kelembutan menggunakan tiga helai kain kafan tanpa dibuat baju dan tidak juga dipakaikan serban. Seterusnya mereka mula terfikir di manakah pula hendak dikebumikan jenazah Baginda sama ada di masjid, rumah Aisyah atau di perkuburan Baqi. Lalu mereka telah bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq,

 

 

Berkata Abu Bakar As-Siddiq, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Kami para Nabi dikebumikan di tempat nyawa kami diambil.”

 

 

Mendengar kata Abu Bakar As Siddiq ini maka mereka menggali di dalam rumah Rasulullah s.a.w. Terdapat dua cara penggalian kubur yang sedikit berbeza antara Muhajirin dan Ansar. Orang Muhajirin menggali kubur tanpa liang lahad manakala orang Ansar menggali kubur dengan liang lahad. Bagi menggali kubur dipanggil Abu Ubaidah al-Jarrah dari kalangan Muhajirin dan Abu Talhah al-Ansari dari Ansar. Abbas mendoakan siapa yang sampai dahulu untuk menggali maka akan diikut caranya. Akhirnya Abu Talhah sampai dahulu dan kubur pun digali dengan adanya liang lahad. Penggalian kubur dilakukan pada seharian suntuk hingga ke malam Rabu. Sebagaimana disebut oleh Aisyah,

 

 

Kami bagaikan tidak menyedari pengkebumian, kecuali setelah kami terdengar suara cangkul menggali tanah di tengah malam iaitu pada malam Rabu.”

 

 

Jasad Baginda yang telah selesai dikafankan mulai disolatkan oleh para Sahabat secara bergilir-gilir dalam kumpulan di rumah Baginda tanpa dibawa ke masjid. Jenazah Baginda disolatkan terlebih dahulu oleh kaum keluarganya kemudian Muhajirin, Ansar dan kaum wanita selepas semua orang lelaki selesai solat dan akhirnya disolatkan oleh kanak-kanak.

 

 

Kini tibalah masa untuk memasukkan jasad Baginda yang mulia ke dalam liang lahad. Tiada lagi akan terlihat wajah kekasih Allah SWT ini. Akan hilanglah wajah yang mulia ini dari pandangan manusia, yang tinggal hanyalah kenangan yang tidak ternilai.

 

 

Ali bin Abi Talib, Fadl dan Qusam bin Abbas serta Syarqan Maula Muhammad masuk ke dalam liang untuk menyambut jasad Baginda. Jasad Baginda ditutup dengan tanah dengan penuh penghormatan sehingga selesailah urusan pengebumian jenazah Rasulullah s.a.w.

 

 

Setiap yang bernama manusia tetap akan mati walaupun para Nabi. Lihatlah al-Quran menjelaskan perkara ini,

 

 

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ

 

 

Maksudnya : Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? (Surah al-Anbiya 21:34)

 

 

Bermula saat ini para Sahabat sudah tidak lagi mendengar suara Baginda membaca ayat-ayat al-Quran di dalam solat. Susuk tubuh yang berjalan dan mengusup kepala anak-anak yang bermain sudah tidak kelihatan lagi. Senyuman dan pandangan belas kasihan kepada fakir dan miskin tidak ada lagi.

 

 

Bukan satu yang mudah untuk para Sahabat melalui hari-hari mendatang. Setiap kali ke masjid mereka akan teringatkan jasad Baginda yang berada di dalam rumah Aisyah. Namun tugas peninggalan Rasulullah s.a.w perlu diteruskan iaitu membebaskan manusia daripada kesyirikkan. Meletakkan manusia pada tempat yang mulia pada pandangan Allah SWT.

 

 

Berakhirlah cabaran dakwah Baginda yang perlu pula dipikul oleh umatnya. Jika benar kamu mencintai Allah SWT dan Rasul ikutlah jalan-Nya. Lihat firman Allah SWT,

 

Pos Terkait:  Resmi Meluncur di Indonesia, Ini Spesifikasi dan Harga Oppo

 

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
 

 

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ali Imran 3:31)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *