Kisah 1 Rasulullah Muhammad Saw Hijrah ke Madinah (bagian 1)

Posted on

Rasulullah Berhjrah Ke Madinah

Ketika golongan musyrikin sedang membuat segala persiapan untuk melaksanakan rancangan jahat mereka, Rasulullah s.a.w membuat persiapan untuk berhijrah ke Madinah. Allah telah menjelaskan di dalam al Quran perancangan musuh-musuh Islam,
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika orang-orang kafir (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menangkap  atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah mengagalkan tipu daya mereka. Dan Allah sebaik-baik mengagalkan tipu daya. (Al-Anfal 8:30)
Jibril telah datang bertemu dengan Baginda dan menyatakan perintah Allah untuk berhijrah pada malam hari. Lantas Baginda terus menuju ke rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari yang panas. Aisyah menyatakan,
“Semasa kami sedang duduk di rumah Abu Bakar, pada waktu tengah hari, ada seorang berkata kepada Abu Bakar,
Itu Rasulullah s.a.w. berkelubung datang pada waktu yang tidak biasa Baginda menziarahi kami.
Kemudian berkata Abu Bakar , “demi Allah, Baginda tidak datang pada waktu begini melainkan untuk urusan yang besar.”
Berkata Aisyah, “maka tibalah Rasulullah s.a.w, lalu Baginda meminta izin dan Baginda masuk sambil berkata kepada Abu Bakar, boleh kamu keluar sekejap.
Jawab Abu Bakar, “mereka ini semua keluarga engkau  ya Rasulullah, demi engkau sebagai bapaku wahai Rasulullah”.
Berkata Baginda, “Kini aku telah diizinkan untuk keluar”.
Jawab Abu Bakar, “Demi kau sebagai bapaku, apakah aku mengiringi kamu?”
Jawab Rasulullah, “Ya, memang begitu”.
Setelah ditetapkan perancangan hijrah dan memaklumkan kepada Abu Bakar untuk berhijrah, maka Rasulullah s.a.w pun pulang semula ke rumahnya, menunggu waktu malam.
Baginda telah memberi arahan kepada Ali Bin Abi Talib untuk menyerahkan kembali segala barang-barang yang ditinggalkan oleh para pedagang sebagai jagaan Baginda sepanjang mereka bermusafir. Baginda telah berkata kepada Ali,
Ayuh, kamu tidur ditempatku ini dan berselimutlah dengan kain hadramiku ini dan tidurlah. Tiada suatu pun yang kamu tidak suka itu akan terkena kepadamu.
Pada sisi lain pula, musyrikin Mekah telah bersiap sedia mengepung rumah Baginda pada malam hari. Mereka berpakat untuk menyerang Rasulullah serentak dan membunuhnya ketika Baginda tidur. Malam pun tiba, pasukan musuh sudah mengepung rumah Baginda. Mereka tidak menyerbu masuk kerana adanya kaum wanita, bagi adatnya menyerang dalam keadaan wanita berada di dalam rumah adalah satu perkara yang memalukan. Maka mereka mengambil keputusan untuk bertahan dahulu di luar rumah Baginda.
Ketika musuh mengepung rumah Baginda, Rasulullah s.a.w keluar dan berjalan dihadapan pemuda-pemuda ini yang sudah tertidur dengan menabur pasir ke atas kepala mereka. Ianya satu isyarat yang menghinakan apabila pasir berada diatas kepala mereka. Baginda telah membacakan ayat al Quran dari surah Yasin,
وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
Maksudnya : “Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka dan sekatan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat. (Yasin 36: 9)
Lalu Baginda terus menuju ke rumah Abu Bakar.
Pos Terkait:  Cara Melihat Twitter yang di Private

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *