Kisah Cacian Abu Jahal Kepada Rasulullah Muhammad Saw (bagian 14)

Posted on

Kisah Cacian Abu Jahal Kepada Rasulullah Muhammad Saw (bagian 14)

Penganiayaan kepada Rasulullah berterusan, Abu Jahal sentiasa akan menghalang Baginda untuk solat di Kaabah. Hinggalah satu hari dia nekad untuk memijak leher Rasulullah ketika solat. Hasratnya itu cuba dipenuhi ketika Baginda solat di hadapan Kaabah sebagaimana terdapat dalam sebuah hadis yang bermaksud,
Daripada Abu Hurairah  berkata: Kata Abu Jahal: Adakah Muhammad sujud di atas tanah? Lalu dijawab: Ya! Kata Abu Jahal lagi: Demi Al Laata dan Al Uzza sekiranya aku melihat Baginda melakukan demikian, akan aku pijak belakang lehernya atau aku tekan mukanya ke tanah. Lalu Abu Jahal mendatangi Nabi dan ketika itu Nabi sedang solat dengan tujuan untuk memijak belakang lehernya. Tiba-tiba Abu Jahal didapati berjalan undur ke belakang dan seolah-olah menahan dengan tangannya. Lalu ditanya kepadanya: Apa yang tidak kena dengan kamu? Jawab Abu Jahal: Antara aku dan Muhammad terdapat parit daripada api yang mempunyai sayap-sayap dan menggerunkan. Lalu sabda Rasulullah s.a.w sekiranya dia (Abu Jahal) mendekatiku akan disentak (anggota tubuhnya) satu persatu.[Hadis riwayat Imam Muslim:2797, Imam Ahmad:2/370]
Al Quran menjelaskan keburukan tindakan orang yang menghalang jalan kebenaran terutamanya para utusan Allah. Lihat firman Allah,
كَلَّا إِنَّ الْإِنْسَانَ لَيَطْغَى (6) أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى (7) إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى (8) أَرَأَيْتَ الَّذِي يَنْهَى (9) عَبْدًا إِذَا صَلَّى (10) أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَى الْهُدَى (11) أَوْ أَمَرَ بِالتَّقْوَى (12) أَرَأَيْتَ إِنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى (13)
Maksudnya : Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Rabbmulah kembali(mu). Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang, seorang hamba ketika mengerjakan solat, bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran, atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)? Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? (Al Alaq 96:6-13)
Manakala At-Thabari dan Ibnu Ishaq meriwayatkan bahawa sebahagian mereka pernah menaburkan tanah di atas kepala Rasulullah ketika beliau sedang berjalan di sebuah lorong di Mekah, sehingga Baginda kembali ke rumah dengan kepalanya dipenuhi debu dan pasir. Ianya adalah perbuatan kaum yang jahil yang tidak senang dengan dakwah Baginda. Puteri Baginda akan mengambil air dan membersihkannya sambil menangis mengenangkan perbuatan mereka kepada ayahnya. Namun Rasulullah tetap menenangkan puterinya dengan sabdanya yang bermaksud,
“Anakku janganlah kamu menangis kerana Allah telah melindungi ayahmu.”
Satu perbuatan yang sangat melampau dilakukan oleh rakan kufar Abu Jahal iaitu Uqbah Bin Abi Muith ke atas Rasulullah. Ketika Baginda sedang solat di Masjidil Haram, Uqbah telah menjerut leher Baginda dengan selendangnya sehingga Rasulullah tidak berdaya melepaskannya. Kemudian muncul Abu Bakar yang menolak Uqbah dan melepaskan Rasulullah dari jerutan Uqbah. Abu Bakar telah mengucapkan kata-kata,
“Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki yang menyebut Tuhannya Allah, bahkan dia datang kepadamu dengan membawa keterangan dari Tuhannya?”
Ungkapan Abu Bakar ini samalah seperti yang telah dinyatakan oleh seorang lelaki yang yang menyembunyikan keimanannya dengan katanya kepada Firaun ketika mempertahankan Nabi Musa dari komplot jahat Firaun dan tenteranya. Lihat firman Allah,
 أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ وَقَدْ جَاءَكُمْ بِالْبَيِّنَاتِ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ
Maksudnya : Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan, “Tuhanku ialah Allah padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. (Al Mukmin 40:28)
Uqbah sentiasa menganggu Rasulullah ketika Baginda tawaf dan solat di Masjidil Haram. Apabila Rasulullah tawaf beliau akan menghalangnya serta sentiasa mengejeknya. Satu hari beliau telah meludah kepada Rasulullah namun menurut Adh-Dhahhak beliau mengatakan,
 “Tatkala ‘Uqbah bin Abi Muith meludah ke wajah Rasulullah s.a.w ludahnya kembali mengenai
wajahnya sendiri, membakar wajah dan kedua bibirnya hingga berbekas dan membakar kedua pipinya. Bekas tersebut melekat padanya hingga dia terbunuh.”….
nantikan kisah selanjutnya…
Pos Terkait:  Cara Menggunakan Kuota Lokal Tri: Hemat Biaya Internetmu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *