Inilah Penduduk Luar Mekah Yang Menganut Islam pertama Kali yaitu Suwaid bin Samit

Posted on

Penduduk Luar Mekah Yang Menganut  Islam pertama kali yaitu Suwaid bin Samit

 

Dakwah Rasulullah telah keluar dari Kota Mekah walaupun susuk tubuh Baginda berada di Kota Mekah. Cerita tentang seorang lelaki yang mengaku Rasul mulai tersebar dari mulut orang ramai sejak Baginda menemui kabilah-kabilah dan individu-individu yang datang menunaikan Haji ke Mekah, antaranya Bani Amir bin Sa’sa’ah, Muharib bin Khasfah, Fazarah, Ghassan, Murrah, Hanifah, Salim, Abs, Bani Nadhr, Bani al-Buka’, Kindah, Kalb, al-Harith bin Ka’ab, Uzrah dan al-Hadharimah, tetapi tidak ada seorang pun dari kalangan mereka ini menerima seruan dakwah Baginda.
Selepas musim Haji berlalu terdapat beberapa individu yang mendengar kisah kerasulan Baginda, maka jiwa manusia yang sentiasa mencari kebenaran tidak akan pernah tenang melainkan bertemu dengan lelaki yang disebutkan dan mendapat kepastian darinya. Antara tokoh Sahabat yang memeluk Islam seperti berikut,
Suwaid bin Samit
Beliau adalah penduduk yang datang dari Yathrib (Madinah). Seorang yang terkenal di Yathrib, mempunyai nasab keturunan orang yang disanjung, seorang yang berakhlak mulia dan penyair yang hebat sehingga mendapat gelaran Al Kamil (Yang Sempurna) dari penduduk Yathrib. Beliau telah datang ke Mekah untuk menunaikan Haji (mengikut cara jahiliyyah). Kesempatan ini Baginda menghampirinya dan menyerunya untuk menerima Islam. Suwaid seorang yang pintar tidak menolak dengan begitu sahaja tetapi telah berdialog dengan Rasulullah,
“Boleh jadi apa yang ada padamu itu sama dengan apa yang ada padaku.”
Kemudian Baginda bertanya, “apa yang ada padamu?”
Kata Suwaid, “ hikmah al Luqman.”
Berkata Baginda, “tunjukkan kepadaku apa yang ada padamu.”
Lalu Suwaid melantunkan beberapa syair yang indah yang memikat hati. Setelah selesai, Baginda berkata,
“Sungguh ia adalah kata-kata yang baik, namun apa yang ada padaku adalah lebih baik lagi. Ianya adalah al Quran yang diturunkan oleh Allah kepadaku iaitu petunjuk dan cahaya.”
Kemudian Baginda membacakan beberapa ayat-ayat al Quran, menyebabkan Suwaid terpegun dan khusuk mendengarnya. Beliau sebagai ahli syair yang hebat yakin ini bukanlah kata-kata yang mampu dikarang oleh manusia dengan keindahan bahasa dan susunannya. Setelah Baginda selesai membaca al Quran kemudian berkatalah Suwaid,
“Ini adalah kata-kata yang sangat bagus.”
Lantas Suwaid menghulurkan tangannya berjabat dengan Rasulullah dan memeluk Islam. Setelah itu Suwaid pulang ke Yathrib. Berlaku satu peperangan Bu’ats iaitu perang saudara antara suku Aus dan Khazraj hingga menyebabkan Suwaid terbunuh. Beliau tidak sempat bergaul dengan Rasulullah semasa zaman keemasan dan kekuatan Islam di Madinah. Suwaid termasuk Sahabat yang awal memeluk Islam.
Pos Terkait:  Cara Stop Iklan Youtube

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *