Begini kisah Penduduk Yathrib Menganut Islam | Dakwah Rasulullah Muhammad Saw

Posted on

Penduduk Yathrib Menganut Islam

Rasulullah s.a.w terus mengambil peluang terhadap kedatangan penduduk luar Mekah untuk ibadah Haji. Pada tahun ke 11 kerasulan Baginda, misi dakwah tertumpu kepada masyarakat yang bukan dikalangan ahli Mekah. Pada masa ini kafir Quraisy tetap  menyekat dan menindas umat Islam. Rasulullah sebagai pakar strategi telah menyusun gerak dakwah pada waktu malam dengan menuju ke khemah kabilah-kabilah yang berada di Mekah untuk menyeru kepada Islam.
Baginda telah ditemani oleh beberapa orang sahabat antaranya Abu Bakar dan Ali, mereka  menziarahi Zahl dan Syaiban Bin Tha’labah. Baginda memperkenalkan dirinya dan meminta ruang untuk berbicara dengan mereka. Seruan Baginda kepada mereka disambut dengan baik namun Bani Syaiban meminta tempoh untuk menganut Islam.
Baginda meneruskan perjalanan pada malam tersebut dan telah mendengar perbualan beberapa lelaki dari qabilah al-Khazraj yang datangnya dari Yathrib. Mereka terdiri dari 6 orang iaitu,
1. ‘Asa’d bin Zurarah – Bani Najar
2. Awf bin al-Harith bin Rifa’ah bin Afra’ – Bani Najar
3. Rafi bin Malik bin al-Ijlan – Bani Zuraiq
4. Qatbah bin Amir bin Hadidah – Bani Salamah
5. Aqabah bin Amir bin Naabi – Bani Hiram bin Ka’b
6. Jabir bin Abdillah bin Riaad – Bani Abidbin Ghanam.
Rasulullah telah berbual dan bertanya kepada mereka.
Baginda bertanya, siapa kamu?
Mereka menjawab,  “kami adalah di antara orang al-Khazraj.”
Berkata Rasulullah, “jadi kamu adalah sekutu kepada Yahudi?
Jawab mereka: Ya!
Rasulullah melanjutkan bicaranya, “bolehkah kamu beri sedikit masa untuk ku, hingga dapat ku bercakap dengan kamu?”
Mereka berkata, “ya boleh.
Kemudiannya mereka pun duduk bersama Baginda, lalu diterangkan kepada mereka tentang Islam dan dibacakan beberapa firman Allah agar mereka faham dan menerima Islam sebagai agama yang benar. Ada diantara mereka yang mendengar seruan Baginda bersuara,
“Tahukah kamu, demi Allah inilah nabi yang pernah diceritakan kepada kamu oleh Yahudi di Madinah, ayuh jangan biarkan mereka mendahului kamu.”
Tanpa bersoal jawab panjang dengan Rasulullah s.a.w mereka pun terus memeluk Islam. Dakwah Rasulullah kepada 6 orang al-Khazraj ini berjaya dan penerimaan Islam satu kegembiraan buat Baginda. Malah mereka pula sudah lama terlibat dengan peperangan saudara yang berlarutan tanpa ada kesudahannya. Mereka pula amat berharap dengan menerima seruan Islam ini akan ada sinar bagi menamatkan peperangan di Yathrib. Mereka mengadu hal kepada Baginda tentang peperangan saudara ini.
“Wahai Rasulullah kami tinggalkan kaum kami di sana dalam persengketaan yang amat teruk, kami harapkan semoga Allah menyatukan kami semua dengan perantaraan engkau wahai Rasulullah, tidak lama lagi kami akan sampai di kalangan mereka, kami akan menyeru mereka kepada seruanmu ini, kami akan bentangkan kepada mereka agama yang telah kamu anuti ini, sekiranya mereka menyahut dan menerima maka tidak ada orang yang mulia selain dari engkau.”
Mereka mendengar dan yakin bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang Rasul yang telah diterangkan kepada mereka oleh ahli kitab sebelum ini. Ciri-ciri yang didengar dan dilihat kini sudah berada di hadapan mata mereka. Setelah mereka kembali ke Yathrib, mereka telah menyeru kaumnya untuk memeluk Islam dan seruan ini diterima dengan baik. Kaum mereka tidak sabar untuk bertemu dengan manusia agung ini. Beruntungnya mereka dapat hidup dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Sebelum Baginda sampai ke Yathrib Islam sudah bertapak hasil dakwah Baginda.
Pos Terkait:  Cara Melakukan Trik "Sleeper" Pada Yo Yo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *