Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 3) #Rasulullah menginjak usia Dewasa
Di usia remaja Baginda Rasulullah telah melalui pelbagai pengalaman hidup bersama masyarakat Mekah. Antara peristiwa yang penting dalam hidupnya ketika usia 15 tahun (menurut Syaikh Shafiyurrahman Al Mubarakfuri) Baginda telah menyaksikan satu peperangan Fijar dan perjanjian Fudhul.
Peperangan ini berlaku antara Kabilah Qais dan musuhnya. Berlakunya peperangan ini iaitu antara Taif dan Mekah. Punca berlakunya peperangan ini kerana pelanggaran terhadap bulan-bulan haram. Rasulullah terlibat dalam perang ini dengan menyediakan anak-anak panah. Peperangan ini telah mengorbankan banyak nyawa dari kedua-dua pihak. Akhirnya seruan dari pembesar Quraisy agar berlaku genjatan senjata dan mengadakan perdamaian Fudhul. Antara isi perjanjiannya adalah janganlah sampai ahli Mekah teraniya dan diusir serta mencegah dari berlakunya peperangan.
Baginda Rasulullah pernah bersabda berkaitan pendamaian Fudhul ini,
لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِيَ بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الإِسْلامِ لأَجَبْتُ
Maksudnya : “Aku menghadiri sebuah perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku pada unta merah kecuali perjanjian ini. Jika aku diajak untuk menyepakati perjanjian ini di masa Islam, aku pun akan menerimanya.” (HR. Al Baihaqi dalam Sunan Al Kubra no 12110, dihasankan oleh Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah no.1900)
Ini menunjukkan Baginda mempunyai sikap lebih cenderung untuk mengelakkan pertumpahan darah dan lebih mencintai jalan-jalan perdamaian.
Sejarah awal kehidupan hidup tidak mudah sehingga Baginda melakukan beberapa pekerjaan bagi menyara kehidupannya. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh Baginda adalah penternakan, mengembala, mengambil upah serta berniaga barang dagangan Khadijah binti Khuwalid. Terkenal dengan kejujurannya oleh penduduk Mekah hingga Baginda digelar Al Amin. Tiada perkataan keji dan kotor diungkapkan olehnya apabila berurusan dengan masyarakatnya.
Kemuliaan akhlak Baginda sampai kepada pengetahuan seorang wanita yang terlibat dalam perniagaan iaitu Khadijah Binti Khuwalid. Kebiasaanya Khadijah akan menawarkan kepada peniaga Quraisy untuk membawa barang dagangannya ke Syam untuk diniagakan. Apabila diketahui ada seorang pemuda yang jujur maka Khadijah telah menawarkan upah yang lebih tinggi untuk membawa barang-barang dagangannya. Rasulullah telah menerima dan diiringkan pula pembantu Khadijah iaitu Maisarah (seorang lelaki) bersama Baginda dalam misi perdagangannya.
Hasil perniagaan yang dibawa oleh Rasulullah telah memberikan keuntungan yang lumayan. Khadijah berasa gembira apabila mendengar dari Maisarah ketangkasan dan kebijaksanaan Baginda dalam perniagaan. Ini menunjukkan terdapat keberkatan dalam perniagaan hasil sikap Baginda yang jujur, mesra, mudah berunding dan sebagainya sehingga menghasilkan keuntungan besar.
Khadijah yang tidak berkahwin walaupun telah banyak lamaran dari kaum Quraisy mula tertarik kepada Rasulullah. Diutuskan rombongan menyatakan hasrat Khadijah dan Rasulullah pun berbincang dengan bapa-bapa saudaranya yang turut menyokong hasrat untuk mengahwini Khadijah. Disebutkan mahar perkahwinan ini adalah 20 ekor unta betina. Berkahwinlah Baginda bersama Khadijah dengan dikurniakan beberapa cahaya mata iaitu anak pertamanya bernama Qasim (kemudian Baginda digelar Abu al-Qasim), Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah. Namun kesemua anak lelakinya meninggal dunia semasa kecil. Anak-anak perempuan baginda kesemuanya sempat semasa Baginda dilantik menjadi Rasul. Seterusnya kesemua mereka memeluk Islam dan berhijrah. Selain itu semua anak-anak Baginda wafat semasa hayat Baginda kecuali Fatimah yang wafat selepas kewafatan Baginda enam bulan kemudian.
Bersambung di bagian ke 4