Biografi Kisah Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw bagian 12 | Dahwah Kepada Kafir Quraisy

Posted on

Biografi Kisah Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw bagian 12 | Dahwah Kepada Kafir Quraisy

Kafir Quraisy enggan menerima hakikat Baginda adalah seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah. Maka mereka membuat pelbagai tuduhan bagi menafikan kebenaran Baginda adalah seorang utusan Allah. Antara tuduhan mereka digambarkan oleh al Quran,

وَقَالُوا مَالِ هَٰذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ ۙ لَوْلَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُ نَذِيرًا
Maksudnya : Dan mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya). (Al-Furqan 25:7)
Mereka yang kufur pula yang menentukan bagaimana Rasul yang sepatutnya dikirim kepada mereka iaitu tidak hidup seperti manusia biasa. Sedangkan jika dijadikan Rasul seperti yang mereka katakan itu maka mereka akan beralasan pula bagaimana mereka mahu mengikut Rasul yang tidak sama dengan penciptaan mereka. Siapakah yang mengatur alam ini mereka atau Allah? Sesungguhnya mereka memang tidak mahu menerima kebenaran.
Usaha menyekat dakwah Rasulullah tidak berakhir, tuduhan dan pendustaan semakin giat disebarkan. Namun semuanya tidak memberi bekas. Lalu pemuka Quraisy membuat tawaran pula kepada Baginda dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya menurut riwayat  yang disampaikan oleh Ibnu Jarir dan al-Tabrani,
Maksudnya: Bahawa pihak musyrikin telah mengemukakan kepada Rasulullah tawaran iaitu supaya Baginda menyembah tuhan-tuhan mereka untuk selama setahun, kemudian pihak mereka akan menyembah tuhannya setahun dengan cara bergilir-gilir.
Manakala dalam satu riwayat yang lain pula oleh Abd bin Hamid yang bermaksud: Bahawa pihak Quraisy telah menawarkan Rasulullah permintaan mereka dengan katanya: Sekiranya kamu mengiktiraf berhala-berhala kami sebagai tuhan, maka kami akan menyembah tuhan kamu.
وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ
Maksudnya : Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu). (Al Qalam 68:9)
Menurut Mujahid maksud ayat ini iaitu agar kamu (Muhammad) tunduk patuh kepada sembahan-sembahan mereka dan kamu tinggalkan perkara hak yang menjadi peganganmu. Itulah yang mereka cuba hendak tawarkan kepada Baginda. Allah mengajarkan kepada Baginda untuk menjawab tawaran mereka itu seperti dirakamkan al Quran,
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)
Maksudnya : Katakanlah, “Wahai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk kamu agama kamu dan untukkulah agamaku.” (Al Kafirun 109:1-6)
Ketegasan Baginda dalam persoalan aqidah tidak ada komprominya. Segala bentuk tawaran untuk mensyrikkan Allah tidak sedikit pun dilayan oleh Baginda. Tiada dosa  yang tidak diampun melainkan terus menerus berada dalam kesyirikan dengan menyegutukan Allah dengan sesuatu.
Namun kedegilan kaum kafir Quraisy tidak bertepi, mereka memujuk pula Baginda untuk membuang ayat- ayat yang mereka tidak suka. Antaranya yang menghina sembahan mereka, lihat firman Allah:
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ ۙ قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا ائْتِ بِقُرْآنٍ غَيْرِ هَٰذَا أَوْ بَدِّلْهُ ۚ قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِنْ تِلْقَاءِ نَفْسِي ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ ۖ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
Maksudnya : Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata, orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata: “Datangkanlah
Al Quran yang lain dari ini atau gantilah dia. Katakanlah: “Tidaklah patut bagiku menggantinya dari pihak diriku sendiri. Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut jika mendurhakai Tuhanku kepada siksa hari yang besar (kiamat)”.(Yunus 10:15)
Begitulah sikap dan perangai kafir Quraisy apabila berhadapan dengan seruan dakwah Baginda. Segala wahyu yang disampaikan tidak satu pun mereka terima. Sentiasa akan ada helah dan pendustaan dari mereka. Baginda Rasulullah tetap terus dengan tugas menyampaikan perintah Allah. Bolehkah anda bayangkan betapa sukarnya seruan dakwah yang dijalankan Baginda di Kota Mekah?….bersambung ikuti terus kisah perjalanan dakwah Rasulullah Muhammad Saw di bagian selanjutnya.
Pos Terkait:  Perbedaan Syukuran dan Tasyakuran