Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Rasulullah Muhammad Saw Masuk ke Makkah

Posted on

Rasulullah Masuk Ke Kota Mekah

Sebelum masuk ke kota Mekah Rasulullah mengirim utusan meminta jaminan keselamatan (seperti suaka politik) daripada Akhnas Bin Syuraiq dari kabilah Zuharah, namun beliau menolak untuk memberi jaminan keselamatan kepada Baginda. Kemudian Baginda meminta pula dari Suhail bin Amru dari kabilah Amir beliau juga tidak sanggup menjamin keselamatan Baginda. Seterusnya Baginda meminta dari Mu’tim Bin Adi iaitu dari kabilah Naufal dan beliau bersetuju menjamin keselamatan Baginda di Mekah. Mu’tim walaupun belum Islam beliau mempunyai maruah sebagai pemimpin Quraisy yang tegas menjamin hak warga Mekah. Apabila sudah mendapat jaminan dari mana-mana kabilah maka tiada sesiapa yang boleh melakukan sesuka hati terhadap Baginda.
Mu’tim dengan anak-anak lelakinya dengan lengkap berpakaian perang mengiringi Baginda tawaf di Kaabah. Perbuatan ini dilihat oleh pembesar Quraisy yang lain. Lalu mereka telah mengirim Abu Sufyan untuk bertanya kepada Mu’tim adakah beliau mengikuti agama Muhammad atau hanya menjamin Baginda. Mu’tim mengatakan beliau menjamin Muhammad dan bukan menganut agamanya. Abu Sufyan berkata jika Mu’tim menjamin Baginda itu adalah urusannya dan mereka tidak campur tangan sebaliknya jika Mu’tim menerima Islam maka mereka akan mengistiharkan perang kepadanya.
Setelah selesai tawaf Baginda pulang ke rumahnya dengan aman tanpa ada apa-apa gangguan dari kafir Quraisy. Rasulullah sentiasa berkeinginan untuk menyampaikan Islam keluar dari Kota Mekah. Percubaan ke Taif yang tidak berjaya sedikit pun tidak melemahkan jiwa Baginda. Allah sentiasa mengetahui apa yang dihajati oleh Baginda, hinggalah satu hari seorang yang datang luar dari kota Mekah yang hebat dari sudut syair, menyusun sajak dengan bahasa yang indah dan seorang bangsawan datang untuk bertemu Baginda.
Lelaki tersebut adalah Thufail bin Amr ad-Dausi, seorang bangsawan yang mulia dan bijaksana dari bani Daus di Yaman. Tujuan beliau datang ke Mekah ingin bertemu Baginda setelah mendengar tentang seorang lelaki yang hebat kata-katanya dan susunan bahasanya. Oleh kerana Thufail seorang yang amat meminati seni syair dan bahasa maka beliau sanggup datang untuk bertemu lelaki yang dikatakan orang itu. Apabila beliau tiba di kota Mekah para pemimpin Quraisy telah menyambut Thufail dengan gembiranya dan melayan beliau. Namun mereka tidak tahu apakah tujuan sebenar Tufail ke Mekah dan tidak juga dimaklumkan olehnya.
Satu hari Thufail telah bertanya tentang lelaki yang beliau dengar iaitu Rasulullah. Beliau tidak mengetahui tentang kerasulan Baginda. Soalan Thufail telah dijawab oleh seorang kafir Quraisy,
“Wahai Thufail, kamu telah datang ke sini dengan selamat tanpa sesuatu halangan pun dan tidak ada apa-apa kekurangan serta kami menghormati kamu. Tetapi sekarang  kamu bertanya kepada kami tentang seorang lelaki dari golongan kami (bangsa Quraisy) yang jika beliau berkata, perkataannya sangat menarik hati dan memikat hati orang yang mendengarnya. Tentang itu ketahuilah olehmu, bahawa lelaki yang kamu tanyakan itu memang betul ada di kota Makkah ini dan benar juga dia dari golongan kaum Quraisy. Akan tetapi hendaklah kamu ketahui juga bahawa ia adalah seorang yang suka berbuat perbuatan yang menimbulkan perselisihan di antara kami, lalu dari perselisihan itu menimbulkan perpecahan diantara kami dan akhirnya membawa permusuhan diantara kami satu sama lain”.
Kemudian seorang lagi kafir Quraisy menambah,
Adapun perkataan-perkataan yang dikatakannya itu memang benar dapat menarik hati dan memikat hati orang yang mendengarnya, tetapi ketahuilah olehmu, bahawa perkataannya dan segala sesuatu yang diucapkannya itu adalah sihir yang tajam yang dapat mempengaruhi siapapun yang mendengarnya. Kerana itu ia dapat memisahkan antara seseorang dan orang tuanya, menceraikan seorang isteri dan suaminya, dapat memutuskan persaudaraan antara seseorang dan seseorang lainnya dan demikianlah selanjutnya. Oleh sebab itu, jika kamu ingin bertemu dengan dia, kami sangat khuatir terhadap dirimu dan
kaummu. Dan untuk menjaga keselamatan dirimu maka sebaiknya janganlah kamu mendekatinya dan jangan pula sampai mendengarkan perkataan-perkataannya.
Mendengar kata-kata mereka kemudian Thufail dengan tegas menjawab : “Demi Allah! Oleh kerana kedatangan aku ke sini memang ingin bertemu dengan dia dan hendak mendengarkan sebahagian dari perkataan-perkataannya, namun kamu tidak mengalakkan aku meneruskannya, maka aku berpendapat bahawa cara yang sebaik-baiknya adalah izinkan aku melihat wajahnya seketika sahaja dan tidak akan berbicara dengan dia serta telingaku akan disumbat dengan kapas, agar tidak dapat mendengar apa yang dikatakannya.
Permintaan Thufail sukar ditolak oleh kafir Quraisy lalu mereka mengizinkannya. Apa yang berlaku seterusnya?
…Cerita Bersambung ” Thufail masuk Islam”
Pos Terkait:  Cara Menambahkan Plot Style di AutoCAD