Perjalanan Rasulullah Muhammad Saw Hijrah ke Madinah | Nabi Meneruskan Perjalanan

Posted on

Rasulullah Berhijrah Ke Madinah

Perjalanan ke Madinah diteruskan oleh Baginda sehinggalah mereka tiba di satu tempat  dikenali Ummu Ma’bad al Khuza’iyah. Kawasan ini merupakan tempat kaum badwi yang sentiasa berpindah randah. Abu Bakar telah menyapa seorang wanita yang duduk di khemahnya yang menjadi kebiasaan bagi wanita ini memberi minum kepada sesiapa yang melewati khemah mereka. Bertanyalah Abu Bakar,
“Apakah kamu ada minuman susu untuk kami?”
Jawab Ummu Ma’bad, “jika ada nescaya akan ku berikan kepada kamu tanpa perlu kamu memintanya kerana kamu adalah tetamu yang selayaknya dilayan sebagai tetamu.”
Bersama Ummu Ma’bad terdapat kambing yang sudah tua dan tidak mampu untuk mengeluarkan susu lagi. Kambing ini juga tidak mampu lagi untuk berjalan dalam kumpulan kambing yang dibawa oleh suaminya untuk meragut rumput.
Melihatkan kambing itu maka Rasulullah s.a.w meminta izin Ummu Ma’bad untuk memerah susunya. Lalu berkata Ummu Ma’bad kalau Baginda mahu memerahnya silakan. Maka Baginda mendekati kembing yang tua itu lalu dipegang kantung susunya dengan membaca Bismillah kemudian tiba-tiba kantung susu kambing tersebut mengembang dan diperah susunya oleh Baginda. Hasilnya semua bekas Ummu Ma’bad yang tadinya kosing telah diisi dengan susu yang banyak. Susu ini diminum pula oleh Baginda dan rombongan hijrahnya serta Ummu Ma’bad.
Setelah menghilangkan haus dan kekenyangan dengan susu kambing yang diminum, Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah. Tidak lama selepas itu pulanglah suami Ummu Ma’bad dengan membawa gembalaan kambingnya yang kurus. Beliau terkejut melihat bekas-bekas yang penuh diisi susu sedangkan yang tinggal bersama Ummu Ma’bad hanyalah kambing yang tua dan mustahil mampu menghasilkan susu. Maka diceritakan oleh Ummu Ma’bad tentang seorang lelaki dengan perwatakan mulia, bahasa yang sopan serta seolah-oalah membawa berkat kepada mereka. Suami Ummu Ma’bad berkata pastilah inilah orang yang dicari oleh Quraisy. Aku sangat berharap akan dapat bersahabat dengannya sekiranya aku mempunyai peluang.
Dalam meneruskan perjalanan ini Baginda telah bertemu beberapa orang lagi antaranya seorang pekerja yang mengembala kambing yang bernama Mas’ud. Baginda telah mendoakannya dengan kebahagiaan. Kemudian Baginda juga bertemu dengan pedagang yang pulang dari Syam iaitu Zubair al Awwam dan Talhah. Mereka dengan senang hatinya telah memberikan hadiah pakaian kepada Baginda.
Seterusnya Baginda telah bertemu dengan Abu Buraidah, yang merupakan ketua kabilah kaumnya. Beliau tertarik dengan tawaran Quraisy untuk menangkap Baginda namun apa yang belaku setelah bertemu Baginda telah mengubah pendiriannya. Kepetahan dan keluhuran peribadi Baginda telah menambat hatinya sehingga akhirnya beliau memeluk Islam bersama-sama kabilahnya seramai 70 orang.
Setelah menempuh perjalanan yang panjang, pada 8 Rabiul Awal tahun 14 kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu tahun pertama Hijrah, Baginda telah sampai ke Quba’.
Sementara itu di Madinah setiap hari penduduknya sama ada muslim atau bukan muslim menanti kedatangan Rsulullah s.a.w. Memandangkan Baginda melalui jalan yang bukan jalan yang biasa dilalui oleh kebanyakan orang yang menuju ke Madinah maka sukar bagi mereka mengetahui waktu yang tepat kedatangan Baginda.
Setiap pagi selepas subuh mereka akan menuju ke pintu kota Madinah untuk menunggu kedatangan Baginda sehinggalah matahari terik. Kemudian mereka akan kembali dan datang pula pada petangnya sehinggalah malam. Begitulah rutin setiap hari penduduk Madinah yang muslim termasuk juga golongan Yahudi menant Baginda.
Kedatangan Baginda adalah satu yang ditunggu-tunggu. Sebelum ini mereka telah mendengar cerita tentang Rasul akhir zaman yang akan membawa obor Islam serta cahaya Iman yang akan menyinari bumi Madinah. Segala persiapan untuk menyambut kedatangan Baginda telah dipersiapkan dengan sambutan yang paling meriah.
Pada satu hari seperti mana kebiasaannya penduduk Madinah keluar selepas subuh menanti kedatangan Baginda sehingga waktu teriknya matahari. Kemudian mereka pun kembali ke rumah setelah hampir waktu zohor. Seorang Yahudi yang memanjat pohon tamar masih meninjau-ninjau cuba melihat jika ada sosok tubuh yang memasuki kota Madinah. Kemudian Yahudi ini nampak dari jauh beberapa orang yang berjubah putih menuju ke kota Madinah. Dalam keadaan gembira beliau menjerit kepada penduduk Madinah mengatakan Baginda sedang menuju ke kota Madinah. Terdengar sahaja suara Yahudi ini maka penduduk Madinah keluar segera menuju ke pintu kota untuk menyambut dan melihat Baginda.
Ketika Baginda tiba itu adalah pada hari Isnin, tarikhnya adalah 12 Rabiul Awal. Penduduk Madinah yang tidak pernah melihat Baginda tertanya-tanya mana satukah Rasulullah s.a.w. berbanding Abu Bakar. Malah usia Abu Bakar pula tidak jauh bezanya sekitar 2 tahun lebih muda sahaja jaraknya dengan Baginda.
Perjanjian untuk taat dan mempertahankan Baginda sebagaimana janji yang telah dimeterai semasa perjanjian Aqabah kedua tetap masih segar dan ditepati oleh penduduk Madinah. Maka ketika melihat Baginda mereka ghairah untuk menyatakan masih patuh dan taat dengan perjanjian itu. Sambutan dan gema takbir memenuhi kota Madinah menyambut Baginda.
Menurut Ibn al-Qayyum,” kedengaran laungan takbir di rumah Bani Amru bin Auf, seterusnya seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan Rasulullah s.a.w. Kesemuanya mereka mengalu-alukan kedatangan Baginda dengan sambutan dan aluan sebagai seorang Nabi. Kemudian kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah s.a.w serta melingkungi Baginda dalam suasana diselubungi ketenangan.
Pos Terkait:  Jelaskan Perbedaan antara Larutan Koloid dan Suspensi