Azan Dan Solat di Madinah
Ummat Islam di Madinah semakin ramai dan ada yang tinggal berdekatan dengan masjid dan ada yang jauh dari masjid. Satu hari Baginda mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang cara untuk memaklumkan tentang masuknya waktu solat. Amalan sebelum ini para penduduk muslim akan berkumpul awal di masjid apabila masuknya waktu solat. Kini ramai yang menerima Islam serta mereka adakalanya sibuk dengan urusan kerja hingga terabai tentang masuknya waktu solat.
Terdapat hadis yang menjelaskan bagaimana sejarah mulanya azan berkumandang di Madinah. Ianya berlaku pada tahun ke 2 Hijrah.
Dari Abdullah bin Umar katanya: “Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu solat kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermusyawarah tentang cara pemberitahuan waktu. Ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab, “bukankah lebih baik menyuruh seseorang melaungkan atau memberitahukan waktu solat?” Bersabda Rasulullah s.a.w, Wahai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang solat.” (Muslim)
Manakala Abu Daud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :
“Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dibincangkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng, lalu aku mendekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah dia ada niat hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjualkannya kepada aku sahaja. Orang tersebut malah bertanya, “untuk apa ?
Aku menjawabnya, “bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat.”
Orang itu berkata lagi, “adakah kamu mahu jika aku ajarkan cara yang lebih baik ?”
Dan aku menjawab ” Ya !”
Lalu dia berkata lagi dan kali ini dengan suara yang amat lantang , ” Allahu Akbar, Allahu Akbar..”
Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda,
“Itu mimpi yang sebetulnya nyata, berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia (Bilal) memiliki suara yang amat lantang.”
Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal.”
Diajarkan kepada Bilal untuk melaungkan kalimah azan tersebut seperti berikut,
• Allahu Akbar Allahu Akbar
• Asyhadu alla ilaha illallah
• Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah
• Hayya ‘alas sholah
• Hayya ‘alal falah
• Allahu Akbar Allahu Akbar
• La ilaha illallah
Manakala syariat solat di Madinah telah ditambah bilangan rakaatnya. Sejarah sebelum ini solat melalui tiga peringkat, solat itu hanyalah sunat, solat hanya wajib kepada Baginda pada waku malam dan kemudian kepada umat Islam. Kemudian solat 5 waktu jumlah rakaatnya hanya 2 rakaat sahaja kecuali Maghrib. Dan tahap ketiga solat ditambah bilangan rakaatnya iatu tambahan 2 rakaat bagi Zohor, Asar dan Isya. Lihat penjelasan dalam hadis,
Dari Aisyah isteri Nabi s.a.w beliau berkata: Solat difardhukan, samada ketika bermukim sebanyak dua rakaat, dua rakaat, kemudian selepas Baginda berhijrah ke Madinah dan menetap disana, ditambah pada solat hadir (bermukim) sebanyak dua rakaat, dua rakaat dan dikekalkan pada solat fajar dua rakaat kerana bacaan di dalam solat fajar ini panjang. Begitu juga dengan solat maghrib kerana ia solat witir di siang hari.” (HR Ahmad)