Kisah Terjadinya Awal Peperangan Umat Islam || Permulan Perang Badar 2 Hijriyah

Posted on

 

Pada tahun ke 2 Hijrah bulan Ramadan berlaku peperangan pertama dalam sejarah Islam. Peperangan ini adalah perang Badar yang pada awalnya bukanlah rancangan Baginda untuk berperang dengan Quraisy. Rasulullah s.a.w hanya merancang untuk menyekat barang dagangan yang dipimpin oleh Abu Sufyan Bin Har. Rombongan ini membawa 1000 ekor unta dan tidak kurang dari 50 ribu dinar emas yang diawasi oleh 40 orang lelaki yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Jumlah barang dagangan yang dibawa pulang oleh Abu Sufyan dari Syam merupakan satu kekuatan ekonomi bagi penduduk Mekah. Jika sekatan berlaku maka ekonomi Mekah akan tergugat.
Sekatan oleh Baginda untuk memberi kesan ekonomi dan politik kepada Quraisy. Sebelum ini mereka juga telah mengambil harta dari kalangan penduduk Mekah yang telah berhijrah ke Madinah. Apabila Islam semakin kuat maka tiada istilah membenarkan penindasan kepada umat Islam. Mengiktiraf Madinah sebagai satu negara yang berdaulat dan kuat adalah penting dalam politik di tanah Arab.
Baginda telah menyeru penduduk Madinah sesiapa yang mahu turut serta bersama Baginda untuk menyekat rombongan Quraisy. Namun ianya bukanlah satu perintah yang wajib sebab itu tidak ada hukuman bagi mereka yang tidak turut serta. Antara yang disebut oleh Baginda, “ini dia kabilah Quraisy yang penuh dengan harta mereka, ayuh keluarlah kamu semoga Allah menjadikannya sebagai harta rampasan untuk kamu.”
Peluang ini telah diambil oleh para sahabat dengan membuat persiapan untuk bersama Baginda tetapi bukanlah persiapan untuk berperang. Jumlah yang turut serta berjumlah 313 orang, 82 dari kalangan muhajirin, 61 orang dari Aus dan 170 dari Khazraj manakala unta yang dibawa untuk tunganggan secara bergilir adalah 70 ekor.
Dua orang wakil Baginda iaitu Talhah bin Abdullah dan Said bin Zaid menjadi pengintip untuk mengetahui pergerakkan kaum Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Manakala di pihak Abu Sufyan beliau juga telah mengirim perisiknya untuk memastikan keselamatan rombongan dagangnya balik ke Mekah. Beliau telah mendapat berita tentang rancangan Baginda untuk menyekat rombongan dagangnya. Maka bermulalah strategi Abu Sufyan untuk mengelakkan dari bertembung dengan Baginda.
Pada masa yang sama Baginda dan rombongannya telah bergerak menuju ke Badar iaitu laluan yang akan dilalui oleh Abu Sufyan. Menyedari rombongan kaum muslimin memang sudah nekad untuk menyekat beliau maka telah dikirimkan wakilnya iaitu Dham Dham Bin Amr iaitu seorang yang strategis dalam perang saraf ke Mekah untuk mendapat bantuan. Dham Dham telah menunggang unta dan menuju ke Mekah. Namun sebelum tiba memasuki kota Mekah beliau telah mencederakan untanya dan dirinya serta memakai pakaian secara terbalik bagi mengambarkan seolah-olah telah berlakunya peperangan.
Beliau telah menjerit meminta tolong di Mekah dan dengan gaya lakonan yang memberi keyakinan, beliau telah berjaya mengabui kafir Quraisy bahawa peperangan besar telah meletus. Akibat dari terpedaya dengan propaganda ini, maka kafir Quraisy segera membuat persiapan tentera untuk berhadapan dengan kumpulan muslimin. Antara yang tidak turut serta untuk berperang adalah Abu Lahab dan Bani Adi yang seorang pun tidak bersama dalam pasukan tentera kafir Quraisy.
Rombongan tentera dari Mekah adalah 1300 tentera, 100 ekor unta, 600 perisai dan jumlah unta yang dijadikan sebagai sembelihan untu makanan yang tidak diketahui jumlahnya. Abu Jahal telah memimpin pasukan ini bagi memastikan Baginda dan umat Islam tewas.
Pada masa kafir Quraisy telah bersiap untuk menuju peperangan, Abu Sufyan mengatur strategi agar tidak bertembung dengan rombongan kaum muslimin. Ketika itu pula perisik Baginda telah sampai ke satu perigi Badar dan berjaya mengesan kedudukan rombongan dagang Abu Sufyan. Kemudian mereka segera beredar untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah s.a.w tentang rombongan Abu Sufyan yang juga hampir tiba di Badar.
Abu Sufyan pula keluar untuk mengintip rombongan Baginda. Akhirnya beliau tiba di perigi Badar dan dapat mengesan perisik Baginda telah mengenalpasti kedudukan rombongannya. Abu Sufyan yakin kedudukannya telah dikesan oleh rombongan Baginda kerana melihat kepada najis unta yang terdapat biji tamar. Hanya penduduk Madinah memberi unta mereka makan buah tamar. Maka pastilah unta ini datang dari Madinah dan ianya adalah rombongan Baginda.
Di Mekah pula Abu Lahab dan Umayyah Bin Khalaf tidak bersiap untuk bersama dengan Abu Jahal untuk menyerang rombongan Rasulullah s.a.w. Abu Lahab menguruskan hutang-hutang penduduk Mekah manakala Umayyah Bin Khalaf pula masih teringat kata-kata Saad Bin Muaz yang pernah memberitahunya bahawa Umayyah akan dibunuh oleh kaum Muslimin. Ketakutan menyelubungi jiwanya manakala pembesar Mekah merasa hairan dengan tindakannya yang tidak mahu turut berperang. Akibatnya beberapa orang dikalangan Quraisy menyindir beliau sebagai wanita yang takut berperang. Umayyah rasa tercabar dengan sindiran dan ejekkan mereka lalu beliau bangun dan bersiap untuk berperang.
Kafir Quraisy yang sudah hampir semangat untuk berperang tiba-tiba teringat kepada kabilah dari suku Kinanah. Mereka pernah berbalah dan khuatir kabilah ini akan mengambil kesempatan untuk menyerang Mekah apabila mereka keluar untuk menyerang kaum muslimin. Dalam keadaan kerisauan ini, muncullah Iblis yang menyerupai Suraqah Bin Malik seorang pemimpin kabilah Kinanah memberi jaminan mereka tidak akan menyerang Mekah. Iblis menghasut kafir Quraisy untuk berperang dengan kaum muslimin yang dipimpin oleh Baginda.
Maka dengan lagak angkuh dan sombong kafir Quraisy bergerak untuk berhadapan dengan rombongan kaum muslimin di Badar. Lagak angkuh mereka dirakamkan oleh al Quran,
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Maksudnya : Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan. (Al Anfal 8:47)
Pada waktu itu Rasulullah s.a.w dan para sahabat masih belum sedar tentang rancangan kafir Quraisy sedang menuju untuk memerangi kaum muslimin. Maka fokus hanyalah menghalang rombongan dagang Abu Sufyan. Abu Sufyan pula telah berjaya melepaskan diri bersama rombongan dari berhadapan dengan Baginda. Beliau juga telah mengirim berita kepada rombongan kafir Quraisy agar balik ke Mekah kerana beliau telah selamat. Namun Abu Jahal yang menerima berita itu tidak mahu berpatah balik dan mahu menghapuskan Baginda dan kaum muslimin. Kata Abu Jahal,
Demi Allah kita tidak akan pulang kecuali setelah kita sampai ke Badar. Di sana kita akan berkhemah tiga malam, kita sembelih sembelihan, kita makan sepuas-puasnya, minum khamar dan kita berhibur dengan artis-artis penyanyi, sehingga dengan itu kita akan di dengar oleh bangsa Arab tentang pergerakan dan perhimpunan kita, seterusnya mereka akan gerun dengan sikap kita itu untuk selama-lamanya.
Pos Terkait:  Cara Menggunakan PCI Riser: Solusi Praktis Bagi Anda yang Memiliki PC Kecil