Detik-detik Kemenangan Kaum Muslimin Di Perang Badar Dan Kaum Musyrikin Di Ambang Kekalahan

Posted on

Perang Badar & Ambang Kekalahan Musyrikin

Para malaikat yang turut sama berperang di medan Badar telah membunuh ramai tentera musyrikin. Dalam keadaan ini tentera musyrikin mulai rasa takut dan berputus asa. Hanya yang berdegil terdiri dari panglima-panglima kafir Quraisy masih tidak mahu mengalah dan yakin boleh menang. Sedangkan sudah ada dikalangan musrikin yang lari dari medan tempur.
Baginda Rasulullah s.a.w. memberi arahan agar tidak membunuh beberapa orang dari kalangan panglima Quraisy antaranya Abu al Buhtari. Beliau pernah menampar Abu Jahal yang menghalang bekalan makanan yang cuba disalurkan kepada kaum muslimin yang ditindas di Mekah dahulu dalam peristiwa pemboikotan. Abu Al Buhtari tidak pernah memusuhi Baginda dan tidak sesekali menganggu umat Islam ketika di Mekah. Bahkan Baginda juga memberi arahan agar tidak membunuh keluarga Bani Hasyim kerana mereka berperang kerana terpaksa dan bukanlah dengan kerelaan mereka. Selain itu Baginda juga melarang membunuh Abbas Bin Abdul Mutalib.
Ini jelas menunjukkan bahawa Baginda bukanlah seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh Islam melakukan kezaliman dan pembunuhan secara total tanpa ada apa-apa perkiraan. Para Sahabat tetap patuh dan taat atas arahan Baginda. Ketika berada di medan perang seorang sahabat bernama Mujzir Bin Zaid al Bulwi dari kalangan Ansar telah berhadapan dengan Abu al Buhtari. Lalu beliau berkata kepada Abu al Buhtari bahawa Baginda melarang membunuhnya. Berkata Abu al Buhtari “bagaimana dengan kawan aku?”
Berkata Mujzir, “tidak, demi Allah beliau tidak terkecuali.”
Mendengar jawapan Mujzir maka berkatalah Abu al Buhtari, “demi Allah kalau demikian aku akan mati bersamanya.”
Mujzir mengelak untuk membunuh Abu al Buhtari namun kerana sasarannya bukanlah beliau. Namun Abu al Buhtari tetap menyerang mempertahankan kawannya menyebabkan tiada pilihan bagi Mujzir melainkan membunuh kedua-duanya. Akhirnya Abu al Buhtari terbunuh. Mujzir menghadap Baginda dan menceritakan apa yang berlaku dan Baginda menerima penjelasan Mujzir.
Abdul Rahman Bin Auf bertemu Umayyah Bin Khalaf bersama anaknya bernama Ali Bin Umayyah. Seperti mana sedia maklum Umayyah Bin Khalaf seorang yang sangat memusuhi Islam ketika di Mekah lagi. Beliau telah menyiksa Bilal Bin Rabah dengan penuh kezaliman. Kini beliau berada di medan Badar dan sudah hilang segala perlindungan. Baginda Rasul pernah menyebut kepada Saad Bin Muaz tentang kematian Umayyah di luar kota Mekah dan berita ini dalam pengetahuan Umayyah. Bahkan dari awal lagi beliau keberatan untuk turut serta bersama Abu Jahal dalam peperangan ini. Namun kerana sindiran Abu Jahal menyebabkan beliau tetap turut serta ke medan peperangan.
Umayyah telah membuat tawaran untuk menjadi tawanan perang dan menawarkan unta-unta gemuk yang mengeluarkan susu yang banyak kepada Abdul Rahman Bin Auf. Mendengar tawaran beliau Abdul Rahman Bin Auf bersetuju untuk menjadikan mereka dua beranak ini sebagai tawanan perang. Ketika itu tiba-tiba Bilal Bin Rabah telah ternampak Umayyah bekas tuannya yang banyak menyakiti Rasulullah dan paling zalim pula penyiksaan kepada Bilal. Beliau terus melaungkan dengan kuat, “inilah kepala kafir Quraisy dan aku tidak akan selamat jika beliau selamat.”
Abdul Rahman Bin Auf cuba menghalang Bilal Bin Rabah dari membunuh Umayyah dengan berkata kedua-dua beanak ini sudah menjadi tawanan beliau. Namun Bilal tidak mengendahkannya dan mengajak beberapa dari kalangan Ansar untuk membunuh Umayyah. Abdul Rahman Bin Auf cuba melindungi Umayyah namun tidak terdaya pasukan Ansar yang ramai sudah mengepung mereka. Abdul Rahman Bin Auf meminta Umayyah merebahkan dirinya dan Abdul Rahman Bin Auf pula merebahkan dirinya melindungi Umayyah. Namun tindakan beliau tidak berjaya kerana pasukan Ansar dan Bilal berjaya menerkan dan menikam Umayyah dan anaknya sehingga mati.
Sememangnya tidak layak bagi Umayyah untuk diberi layanan dan perlindungan sebagai tawanan. Kejahatan dan kezalimannya terlalu besar dan beliau sedikit pun tidak ada keinginan mahu memohon maaf sebaliknya menawarkan unta yang sarat dengan susu sebagai harga kematiannya. Terbunuhnya Umayyah diketahui oleh Baginda dan tindakan Bilal itu tidak pula disanggah oleh Baginda.
Seorang tentera musyrikin yang bernama Ubadah Bin Saad al Ash amat sukar untuk ditewaskan di dalam peperangan Badar ini kerana beliau memakai baju besi dari atas kepala sampai ke bawah kakinya. Tiada ruang untuk tikaman menembusi tubuhnya. Malah ramai di kalangan tentera muslimin tercedera akibat serangannya. Ada yang telah bertemu dengan Baginda dan mengadu hal ini. Baginda mengutuskan Zubair Bin Al Awwam untuk menghadapinya.
Berkata Zubair, “aku pergi kepada Ubadah dan berpusing dikelilingnya mencari-cari jika ada ruang yang dapat menembusi tubuhnya. Namun tidak ada melainkan matanya sahaja. Aku membawa tombak ke arahnya dan membaling ke matanya sehingga tembus belakang kepalanya hingga beliau mati.”
Seorang tentera muslimin yang bernama Abu Qatadah telah mengalami kecederaan parah akibat terkena panah dari musuh di kepalanya. Akibatnya matanya terkeluar dan tergantung lalu para sahabat telah memapahnya dan ingin membantu dengan cara memotong urat matanya. Namun Abu Qatadah mahu berjumpa Rasulullah terlebih dahulu. Apabila tiba dihadapan Baginda, maka Rasulullah s.a.w memegang mata Abu Qatadah dan memasukkan kembali matanya dan menyapunya. Mata Abu Qatadah kembali seperti sedia kala. Berkata Abu Qatadah, “selepas itu aku tidak mengetahui mana satukah mata aku yang tercedera dahulu.”
Inilah mukjizat yang diberikan Allah kepada Baginda di dalam peperangan Badar. Apabila Allah ingin memberi kemenangan maka diberikan kekuatan dan semangat tinggi kepada para tentera muslimin. Antara mukjizatnya yang lainnya adalah mereka melihat jumlah tentera musyrikin sedikit sekali manakala tentera musuh pula melihat tentera muslimin dalam jumlah yang ramai. Al Quran menjelaskan hal ini,
وَإِذْ يُرِيكُمُوهُمْ إِذِ الْتَقَيْتُمْ فِي أَعْيُنِكُمْ قَلِيلًا وَيُقَلِّلُكُمْ فِي أَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِيَ اللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا ۗ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka, sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu dan kamu pula diperlihatkanNya sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (Al Anfal 8:44)
Seorang Sahabat bernama Abu Ubaidah Al Jarrah sedang meluru untuk bertempur dengan tentera Quraisy. Namun para tentera Quraisy sedaya upaya mengelakkan diri untuk bertempur dengan beliau kerana tahu ketangkasan Abu Ubaidah Al Jarrah. Pada masa yang sama pula ada seorang tentera Quraisy mengekori Abu Ubaidah dari belakang untuk bertempur dengannya namun Abu Ubaidah pula mengelakkan diri dari panglima Quraisy ini. Akhirnya mereka berhadapan juga tanpa Abu Ubaidah dapat mengelakkan diri lagi. Pertarungan berlaku diantara mereka berdua yang mengakibatkan panglima Quraisy ini dibunuh oleh Abu Ubaidah. Musuh yang terbunuh itu adalah ayah kepada Abu Ubaidah iaitulah Al Jarrah.
Allah dan Rasul sentiasa menjadi keutamaan para Sahabat siapa yang memilih untuk menentang Rasul adalah sama dengan menentang Allah. Walaupun kaum keluarga atau kerabat yang menentang Allah dan Rasul maka tiadalah yang dapat menghalangnya melainkan kematian.
Pos Terkait:  Surat Lamaran Kerja Waiters: Tips dan Contoh