Peristiwa Sedih Berganda Tragedi Bir Ma’unah

Posted on

Peristiwa Sedih Berganda Tragedi Bir Ma’unah

Tidak lama hanya beberapa hari berlaku Peristiwa Maa’ Al-Raji’ dengan terbunuhnya sahabat-sahabat yang dikirim oleh Baginda, berlaku pula satu peristiwa yang lebih dahsyat yang sangat menyentuh jiwa Baginda. Peristiwa ini berlaku pada tahun yang sama iaitu tahun ke 4 Hijrah iaitu di Bir Ma’unah.
Wakil dari suku Amir datang menghadap Baginda di Madinah iaitu Abu Bara’ Amir Bin Malik. Baginda mengajak beliau menganut Islam namun beliau masih belum terbuka untuk menerima Islam lagi pada ketika itu. Kemudian beliau telah berkata kepada Baginda,
Wahai Rasulullah kalaulah tuan hamba dapat mengutus sahabat-sahabat tuan hamba kepada penduduk Najdi untuk mengajak mereka kepada agama tuan hamba ini, aku mengharapkan mereka akan menyahut seruan itu.
Kemudian Baginda berkata, “sebenarnya aku curiga dengan penduduk Najdi itu.”
Berkata Abu Bara’, “aku memberi jaminan akan melindungi mereka”.
Berkata Abu Bara’ lagi sekiranya sekiranya suku aku masuk Islam maka aku akan masuk Islam bersama mereka.
Mendengar jaminan Abu Bara’ maka Baginda bersetuju untuk mengirimkan para sahabatnya seramai tujuh puluh orang. Rombongan ini diketuai oleh Munzir bin Amir dari Bani Sa’idah. Rombongan tujuh puluh orang ini adalah dipilih dari kaum muslimin, golongan pemimpin, qari, rajin berqiamulail dan yang paling alim.
Seterusnya Abu Bara’ pun bergerak pulang dan barulah rombongan yang di pimpin 0leh Munzir Bin Amir bergerak menuju ke penempatan Najdi. Sepanjang perjalanan ini mereka turut menyeru kabilah-kabilah lain yang mereka temui untuk menerima Islam. Apabila hampir tiba di perkampungan Bani Amir dan Bani Salim iaitu di Bir’ Ma’unah rombongan ini telah singgah dan mengirimkan utusan iaitu Hiram Bin Milhan membawa risalah Baginda kepada suku Bani Amir.
Risalah ini telah diterima oleh Amir Bin Tufail yang sangat memusuhi Islam. Beliau lantas mengoyak risalah tersebut tanpa membacanya dan mengarahkan pembawa utusan itu dibunuh dengan ditombak dari belakang. Hiram Bin Milhan melaungkan Allahu akbar, aku telah berjaya, aku sudah berjaya demi Tuhan Kaabah. Laungan Hiram Bin Milhan kerana beliau syahid dalam menjalankan tugas dakwah. Kemudian beliau gugur sebagai syuhada. Adalah menjadi satu kesalahan besar membunuh utusan yang membawa risalah.
Melihat utusan ini syahid maka Amir Bin Tufail menyeru kaumnya untuk membunuh semua wakil muslimin yang berjumlah 70 orang ini. Seruan beliau tidak dipersetujui oleh kaumnya kerana mereka mengetahui Abu Bara’ memberi jaminan keselamatan kepada rombongan muslimin ini. Amir bin Tufail berpakat dengan Bani Salim bercadang menyerang dan membunuh rombongan muslimin ini. Munzir Bin Amir terkejut dengan tindakan Amir Bin Tufail kerana mereka telah mendapat jaminan keselamatan dari Abu Bara’. Namun serangan tetap dilakukan dan kesemua darinya gugur syahid. Baki 1 orang yang hidup dalam timbunan mayat adalah Kaab Bin Zaid.
Pada masa yang sama pula Amru bin Umaiyah al-Dhamri yang membawa kenderaan di padang pasir menuju ke Najdi telah ditawan oleh Amir Bin Tufail.
Apa berlaku seterusnya?
Amru Bin Umayyah yang telah ditawan dibawa bertemu dengan Amir Bin Tufail. Apabila mengetahui beliau adalah dari keturunan Dhamrah, maka teringatlah Amir Bin Tufail tentang nazar ibunya yang mahu membebaskan hamba dari keturunan Dhamrah. Lalu Amir Bin Tufail telah membotakkan kepala Amru Bin Umayyah agar nampak sebagai seorang hamba dan kemudian beliau dibebaskan.
Amru Bin Umayyah segera pulang ke Madinah. Dalam perjalanan pulang ini Amru Bin Umayyah berhenti rehat di satu pohon. Turut serta berehat di situ adalah 2 orang dari kabilah Bani Amir. Melihat mereka tidur Amru Bin Umayyah membunuh kedua-duanya sebagai membalas pembunuhan yang telah dilakukan oleh kabilah Bani Amir terhadap rombongan Islam. Tindakan Amru Bin Umayyah ini adalah salah kerana kedua-dua orang ini telah mendapat jaminan keselamatan dari Baginda sedangkan Amru Bin Umayyah tidak mengetahuinya.
Tiba sahaja di Madinah beliau mendapatkan Baginda dan menceritakan kisah pembunuhan tragis rombongan yang dikirim oleh Baginda serta beliau telah membunuh 2 orang dari kabilah Bani Amir semasa dalam perjalan pulang ke Madinah.
Mendengar khabar berita ini Baginda merasa amat sedih mengenangkan mereka yang dibunuh adalah golongan yang alim, ahli al Quran dan sangat hebat pula ibadah malamnya. Kesedihan berganda buat Baginda mengenangkan mereka dibunuh dengan kejam tanpa ada ruang membela dan mempertahankan diri. Mereka pergi dengan ilmu di dada bukan membawa senjata untuk bertempur hanyalah hujah dan kasih sayang mengajak mentauhidkan Allah. Lebih memilukan juga kerana jumlah syuhada yang terkorban dalam masa yang singkat di medan Uhud, Maa’ al Raji’ dan Bir Ma’unah adalah 150 0rang.
Kesedihan ini menyebabkan Baginda mengadu kepada Allah dengan berterusan selama 30 hari Baginda membaca qunut dalam setiap 5 waktu solat mendoakan kemusnahan kepada kabilah-kabilah yang membunuh umat Islam. Riwayat dalam hadis sahih dari Anas katanya, Rasulullah s.a.w mendoakan kemusnahan mereka yang membunuh sahabat-sahabatnya di Bir’ Ma’unah selama tiga puluh pagi. Baginda mendoakan kemusnahan ke atas kabilah Raal, di Zakwan Lahyan dan Usaiyah dengan sabdanya: “Usaiyah memaksiati Allah dan RasulNya dengan itu Allah menurunkan ke atas NabiNya ayat-ayat al-Quran mengenainya yang kami membacanya, namun ianya dinasakhkan. Setelah itu Rasulullah s.a.w pun meninggalkan Qunut itu.
Manakala pembunuhan yang dilakukan oleh Amru Bin Umayyah Baginda memaafkan beliau kerana beliau tidak tahu namun Baginda menghantar wakil meminta maaf kepada kabilah Bani Amir serta membayar diyat atau ganti rugi atas kematian tersebut. Berkata Baginda kepada Amir Bin Umayyah, “sesungguhnya engkau telah membunuh dua orang di mana aku berkewajipan membayar pampasannya.”
Maka Baginda pun sibuk mengumpul pampasan itu dari kaum muslimin di Madinah dan sekutu-sekutu Yahudi agar semua bertanggungjawab terhadap peristiwa yang telah berlaku. Antara yang turut diminta untuk turut membayar gantirugi adalah Yahudi Bani Nadhir yang masih menetap di Madinah.
Manakala Abu Bara’ Amir Bin Malik mendapat khabar anak saudaranya Amir Bin Tufail telah membunuh rombongan Islam yang mendapat jaminan beliau. Kemudian beliau menjadi sangat marah dan segera menuju untuk menemui anak saudaranya itu. Apabila tiba dihadapan Amir Bin Tufail beliau terus menikamnya dengan tombak. Namun Amir Bin Tufail tidak mati hanya mengalami kecederaan. Kesedihan yang amat sangat menimpa Abu Bara’ Amir Bin Malik kerana mengetahui rombongan Islam telah dibunuh. Kesedihannya berpanjangan sehingga beliau meninggal dunia dengan penuh rasa penyesalan.
Pos Terkait:  Cara Membuat 2 Kolom di Word dengan Mudah