Fitnah Terhadap Saiyidah Aisyah Oleh Golongan Munafik

Posted on

Fitnah Terhadap Aisyah Oleh Golongan Munafik

 

Rasulullah s.a.w telah membuat undian terhadap isteri-isterinya siapa yang akan turut menemani Baginda dalam peperangan Bani Mustaliq. Ianya adalah perkara biasa yang dilakukan oleh Baginda terhadp isteri-isterinya dengan undian sebegitu. Akhirnya undian menyebelahi Aisyah dan Baginda mempersiapkan kenderaan untuk Aisyah turut serta.
Semasa dalam perjalanan balik ke Madinah setelah selesai peperangan Bani Mustaliq, Aisyah telah keluar dari kenderaan untuk menunaikan hajatnya apabila tentera muslimin berhenti rehat. Aisyah telah meminjam dan memakai kalung dari Asma sebelum beliau berangkat bersama rombongan tentera muslimin. Ketika beliau kembali untuk menaiki kenderaannya setelah selesai menunaikan hajatnya tiba-tiba Aisyah perasan kalungnya telah hilang maka beliau telah berpatah balik dan mencari kalung tersebut.
Apabila masa untuk para tentera kembali meneruskan perjalanan pulang ke Madinah mereka menyangka Aisyah sudah pun berada dalam kenderaannya. Malah kenderaan Aisyah bertutup dan tiada yang mengetahui beliau tiada di dalamnya. Maka rombongan tentera muslimin pun terus bergerak pulang sedangkan Aisyah masih mencari kalungnya yang jatuh. Apabila Aisyah telah menemui kalungnya maka beliau segera menuju ke kenderaannya namun beliau mendapati rombongan tentera muslimin telah beredar.
Aisyah telah mengambil keputusan untuk duduk dan tunggu rombongan ini kembali mengambil beliau setelah mendapati beliau tiada bersama mereka. Akibat lama menunggu maka Aisyah terlelap dan beliau terjaga setelah mendengar seseorang berkata “Inna lillahi wainna ilaihi rajiuun, isteri Rasulullah? Lelaki tersebut adalah seorang sahabat bernama Safwan Bin Ma’tal. Beliau mengenali Aisyah kerana pernah melihatnya sebelum turunnya ayat perintah hijab.
Safwan mengambil tanggungjawab bagi memastikan Aisyah kembali ke Madinah dengan selamat dengan memberi untanya untuk ditunggang oleh Aisyah manakala Safwan berjalan membawa unta tersebut. Tiada perkataan yang diucapkan atau dibualkan oleh Aisyah dan Safwan sepanjang perjalanan tersebut. Apabila tiba di Nahr al Zahirah iaitu tempat rombongan tentera muslimin berehat maka orang ramai melihat Aisyah dan Safwan baru tiba. Maka mereka tidak bersangka buruk dan menerima alasan yang munasabah akibat tertinggal Aisyah tanpa diperiksa terlebih dahulu.
Namun kaum munafiq telah mengambil peluang untuk menghina Aisyah dan Rasulullah s.a.w denga mereka menyebarkan fitnah yang paling jahat. Maka berlakulah bisik-bisik dan andaian-anadaian yang disebarkan kepada kaum muslimin. Fitnah ini mula tersebar dan sampai ke pengetahuan Baginda. Rasulullah s.a.w mengambil sikap berdiam diri dan tidak membuat apa-apa tindakan.
Aisyah pula selepas balik dari mengikuti rombongan Baginda beliau kurang sihat dan berehat di rumah bapanya Abu Bakar As Siddiq. Fitnah ini dicanang oleh Abdullah Bin Ubai dengan lebih meluas sehingga masyarakat mula melihat ianya seolah-olah benar kerana liciknya mainan syaitan dan golongan munafik ini.
Apakah yang terjadi seterusnya?
Berita fitnah ini tersebar dengan pantas di Madinah. Antara yang menyebarkannya adalah Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah mereka bertiga telah diperalatkan oleh Abdullah Bin Ubai untuk menjadi tukang canang bagi menyebar luaskan berita palsu yang direka olehnya.
Hassan Bin Thabit, beliau tidak turut serta dalam peperangan Bani Mustaliq dan tidak mengetahui langsung apa yang berlaku. Namun dari awal lagi beliau ada permusuhan peribadinya dengan Safwan yang mengiringi Aisyah. Beliau juga merasa iri hati kerana melihat kaum Muhajirin mendapat kedudukan yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri iaitu Ansar di Madinah.
Hamnah Bin Jahsy, beliau juga tidak turut serta dalam peperangan Bani Mustaliq sama seperti Hassan Bin Thabit. Beliau adalah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab Binti Jahsy, isteri Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui Rasulullah s.a.w sememangnya lebih menyayangi Aisyah berbanding Zainab Binti Jahsy. Maka peluang ini telah diambil untuk menjatuhkan martabat Aisyah agar Baginda mengalihkan cinta Baginda kepada Zainab.
Mishtah Bin Uthathah, beliau pernah diasuh oleh Abu Bakar As Siddiq serta masih berhubung dengan baik dengan Abu Bakar As Siddiq. Maka menjadi satu perkara yang pelik apabila beliau terlibat menyebarkan fitnah. Apakah motif beliau tidak diketahui dengan jelas.
Rasulullah s.a.w mengambil pendekatan bertemu dangan para Sahabatnya untuk meminta pandangan mereka terhadap fitnah yang semakin luas ditebarkan di Madinah. Antara yang memberi pandangan adalah Usamah Bin Zaid. Beliau telah menyatakan tuduhan ini tidak benar sama sekali dan beliau tidak dapat menerimanya kerana tiada bukti menunjukkan Aisyah telah melakukan sesuatu yang buruk. Bahkan para Sahabat amat mengenali Aisyah sebagai seorang yang soleh dan bertaqwa.
Manakala Ali Bin Abi Talib memberi pandangan yang agak berbeza kerana tidak mahu Baginda dalam keresahan dan cintanya kepada Baginda, lalu beliau telah berkata dengan bahasa qias, “ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Seterusnya beliau juga menyarankan agar Baginda bertanya perihal Aisyah kepada pembantu Aisyah yang bernama Barirah. Cadangan untuk bertanya kepada Barirah dilaksanakan dengan membawanya bertemu Baginda. Rasulullah s.a.w bertanya kepada Barirah tentang Aisyah. Jawab Barirah, “aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah Aisyah sungguh baik lebih baik dari emas yang baik.”
Kemudian Baginda bertanya pula kepada Zainab Binti Jahsy isterinya yang selalu bersaing dengan Aisyah untuk memenangi hati Baginda. Namun ketika Baginda bertanya kepada Zainab Binti Jahsy mengenai fitnah ini, Zainab telah menjawab dengan baik, “wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Dan tiada yang aku ketahui daripada diri Aisyah melainkan kebaikan semata-semata.”
Lihatlah bagaimana telitinya Baginda apabila mendengar berita fitnah. Baginda tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan. Para Sahabat yang solehlah yang diminta memberi pandangan. Baginda menerima cadangan agar mendengar juga pandangan dari orang yang rapat dengan Aisyah serta isteri Baginda yang lain yang telah didik dengan al Quran.
Sungguh bukan satu yang mudah bagi Baginda untuk membuat keputusan sedangkan wahyu tidak turun bagi menceritakan hal yang sebenar. Malah itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Baginda bagi membantunya membuat keputusan. Allah memberi panduan kepada kita sebagai ummatnya untuk melihat bagaimana proses menyelidiki sesuatu fitnah yang telah dijalankan oleh Baginda.
Manakala Aisyah masih belum mengetahui hal sebenar kerana beliau demam yang lama sekembali ke Madinah dan tidak keluar dari rumahnya. Cuma beliau perasan Baginda tidak banyak berbicara dengannya seperti kebiasaannya. Akhirnya berita fitnah sampai ke telinga Aisyah. Apakah yang berlaku seterusnya?
Aisyah mengetahui berita fitnah yang disebarkan ke atasnya itu setelah diceritakan oleh Ummu Misthah yang telah menyumpah anak lelakinya iaitu Misthah yang termasuk orang yang memfitnah Aisyah. Apabila mendengar khabar buruk ini Aisyah telah meminta izin Baginda untuk bertemu ke rumah bapanya iaitu Abu Bakar. Apabila tiba Aisyah telah bertanya tentang berita fitnah itu adakah mereka juga menyedarinya? Berkata ibu Aisyah, Wahai anakku sayang! Jangan kamu hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suami padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak dikata orang.”
Mendengar berita fitnah itu dari ibu bapanya maka menangislah Aisyah sehingga 2 malam berturut-turut. Tidak lama selepas itu Rasulullah s.a.w menziarahi Aisyah di rumah Abu Bakar. Setelah Baginda mengungkap syahadah lalu berkatalah Baginda kepada Aisyah,
“Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu. Jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu. Jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah Maha menerima taubatnya.”
Mendengar kata-kata Baginda maka Aisyah menangis dan meminta kedua ibu bapanya menjawab pihak pihaknya. Namun kedua ibu bapanya tidak tahu bagaimana hendak manjawab bagi pihak Aisyah. Akhirnya Aisyah yang dalam kesedihan yang amat sangat telah berkata,
“Demi Allah! Aku telah mendengar berita itu dan kamu juga mendengarnya, supaya puas hati kamu maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku masih bersih tetapi kamu tidak mahu mempercayainya. Jika sekiranya aku mengaku seperti itu, Allah Maha Mengetahui aku ini tidak bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak ada apa yang hendak dikatakan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusof Alaihissalam : Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (Yusuf 12: 18)
Tidak lama setelah Aisyah berkata demikian Allah telah menurunkan wahyu kepada Baginda. Baginda berpeluh ketika wahyu turun tetapi tidak seperti kebiasaanya kali ini Baginda tersenyum gembira dengan turunnya wahyu.
Berkata Baginda, “gembiralah wahai Aisyah! Allah telah mengatakan kamu sungguh bersih dari tuduhan itu”.
Kemudian berkatalah ibu Aisyah, “bangun dan memohon maaf kepada Rasulullah.
Aisyah menjawab, “demi Allah ! Aku tidak perlu meminta maaf kepada Baginda. Aku hanya wajib memuji Allah kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang mengatakan bahawa aku bersih dari tuduhan kotor itu.”
Penerangan tentang wahyu itu
Allah menurunkan wahyunya bagi membebaskan fitnah terhadap Aisyah sebagaimana firmanNya dalam surah An Nur ayat 11-20,
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلۡإِفۡكِ عُصۡبَةٌ۬ مِّنكُمۡ‌ۚ لَا تَحۡسَبُوهُ شَرًّ۬ا لَّكُم‌ۖ بَلۡ هُوَ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ‌ۚ لِكُلِّ ٱمۡرِىٍٕ۬ مِّنۡہُم مَّا ٱكۡتَسَبَ مِنَ ٱلۡإِثۡمِ‌ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبۡرَهُ ۥ مِنۡہُمۡ لَهُ ۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬ (١١) لَّوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بِأَنفُسِہِمۡ خَيۡرً۬ا وَقَالُواْ هَـٰذَآ إِفۡكٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٢) لَّوۡلَا جَآءُو عَلَيۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُہَدَآءَ‌ۚ فَإِذۡ لَمۡ يَأۡتُواْ بِٱلشُّہَدَآءِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ (١٣) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ لَمَسَّكُمۡ فِى مَآ أَفَضۡتُمۡ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (١٤) إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُ ۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ (١٥) وَلَوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَڪَلَّمَ بِہَـٰذَا سُبۡحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُہۡتَـٰنٌ عَظِيمٌ۬ (١٦) يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثۡلِهِۦۤ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ (١٧) وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأَيَـٰتِ‌ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (١٨) إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (١٩) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡڪُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٢٠)
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (11)
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata, “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (12)
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (13)
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. (14)
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (15)
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan. (16)
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (17)
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya) kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (18)
Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (19)
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). (20)
Terdapat banyak pengajaran dari ayat ini yang perlu pembaca ambil perhatian. Sila rujuk tafsir bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
Manakala Hassan Bin Thabit, Misthah Bin Uthathah dan Hamnah binti Jahsy. Mereka telah dikenakan dengan hukum hadd kerana kesalahan fitnah mereka.
Pos Terkait:  Cara untuk Menurunkan Hemoglobin