Peperangan Khaibar (bagian 1) Pertempuran Khaibar Tepat Pada Bulan Muharam tahun ke 7 Hijrah

Posted on

Peperangan Khaibar (bagian 1)

Khaibar adalah nama satu tempat yang subur dan kaya yang didiami oleh orang-orang Yahudi. Mereka pada awalnya tidak ada permusuhan dengan umat Islam, namun Yahudi Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah yang datang dan menetap bersama mereka meracun pemikiran penduduk Khaibar. Ketika Yahudi Bani Nadhir tiba di Khaibar mereka telah diberi keistimewaan kerana Yahudi Bani Nadhir termasuk keturunan Yahudi yang mulia hinggakan diangkat menjadi pemimpin Khaibar. Tokoh yang menguasai Khaibar adalah Sallam Bin Abi al-Huqaiq, Kinanah Bin Abi al-Huqaiq dan Huyai Bin Akhtab.
Dendam kesumat Yahudi Bani Nadhir masih membara terhadap Rasulullah s.a.w mereka sering mengatur strategi demi strategi untuk menyerang Madinah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam peperangan Ahzab mereka bersekutu dengan tentera Quraisy, Yahudi Bani Quraizah serta golongan munafik di Madinah.
Gerakan di Khaibar tidak boleh dibiarkan memandangkan jarak antara Madinah dengan Khaibar lebih kurang 65 km dari Kota Madinah. Malah setelah adanya perjanjian Hudaibiyah maka pihak Quraisy tidak boleh menyertai peperangan dengan kaum muslimin. Ini sekaligus memberi isyarat tiada sokongan dan bantuan dari Quraisy sekiranya peperangan meletus dengan kaum muslimin.
Peperangan Khaibar berlaku pada bulan Muharam tahun ke 7 Hijrah. Allah telah menjanjikan kemenangan kepada Islam dalam peperangan ini. Baginda hanya membenarkan mereka yang menyertai perjanjian Hudaibiyah sahaja yang boleh turut serta dalam misi ini. Menawan Khaibar bererti menawan harta yang banyak dibumi yang subur dan ianya akan menjadi harta rampasan perang. Al Quran menjelaskan harta yang dirampas akan menjadi milik tentera muslimin.
وَعَدَكُمُ اللَّهُ مَغَانِمَ كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَٰذِهِ وَكَفَّ أَيْدِيَ النَّاسِ عَنكُمْ وَلِتَكُونَ آيَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ وَيَهْدِيَكُمْ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا
Maksudnya : (Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka) Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Dia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu, (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. (Fath 48:20)
Baginda Rasul memaklumkan berita gembira ini sehingga beberapa orang di kalangan munafik yang tidak menyertai rombongan ke Mekah ketika perjanjian Hudaibiyah meminta kebenaran untuk turut serta dalam peperangan Khaibar. Tujuan mereka hanyalah untuk memperolehi harta rampasan perang dan bukannya membela Islam. Mereka merayu agar diizinkan turut serta namun Baginda bertegas hanya kaum muslimin yang turut serta dalam perjanjian Hudaibiyah sahaja diizinkan bersama. Sekiranya mereka yang tidak turut serta dalam perjanjian Hudaibiyah ingin bersama berperang ke Khaibar maka tiada bahagian mereka dalam harta rampasan perang tersebut. Mendengar syarat ini maka tiada seorang pun golongan munafik mahu turut serta dalam misi ini. Al Quran mengisahkan hal ini,
سَيَقُولُ الْمُخَلَّفُونَ إِذَا انطَلَقْتُمْ إِلَىٰ مَغَانِمَ لِتَأْخُذُوهَا ذَرُونَا نَتَّبِعْكُمْ ۖ يُرِيدُونَ أَن يُبَدِّلُوا كَلَامَ اللَّهِ ۚ قُل لَّن تَتَّبِعُونَا كَذَٰلِكُمْ قَالَ اللَّهُ مِن قَبْلُ ۖ فَسَيَقُولُونَ بَلْ تَحْسُدُونَنَا ۚ بَلْ كَانُوا لَا يَفْقَهُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya : Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepung musuh serta) mendapat harta rampasan perang: “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!” Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi. Mereka akan berkata pula, “(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu yang dengki kepada kami”, (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata). (Fath 48:15)
Berita tentang perancangan Baginda untuk menyerang Khaibar telah sampai kepada Yahudi di Khaibar. Saki baki Yahudi di Madinah serta bapa munafik Abdullah Bin Ubai telah menyampaikan berita kepada mereka. Baginda memang secara terbuka mewar-warkan tentang peperangan ini dan ianya bukan satu rahsia kerana wahyu telah turun menceritakan kemenangan mereka. Sebagai seorang Rasul tidak mungkin menyembunyikan wahyu Allah, maka tidak sedikit pun memberi kegentaran kepada tentera Islam walaupun berita peperangan sampai terlebih dahulu kepada musuh.
Orang-orang Yahudi membuat perang psikologi bahawa mereka akan menyembelih tentera Islam sekiranya mereka menyerang Khaibar. Jumlah tentera Islam adalah sama dengan jumlah kaum muslimin yang bersama pada perjanjian Hudaibiyah iaitu 1500 orang manakala jumlah tentera Yahudi di Khaibar adalah 10,000 orang. Namun kali ini jumlah tentera berkuda dari kalangan tentera muslimin adalah 200 iaitu yang paling besar dalam mana-mana peperangan sebelum ini.
Yahudi Khaibar meminta bantuan dari beberapa kabilah Arab. Antara pertolongan yang diminta adalah dari Arab Badwi dari keturunan Murrah, pemimpinnya bernama Harith Bin Auf Al-Murri. Namun beliau menolak untuk menyertai Yahudi Khaibar dengan alasannya kekuatan Baginda dari masa ke semasa semakin kukuh dan kuat. Baginda sentiasa menempa kemenangan demi kemenangan maka tindakan memerangi Baginda adalah satu kesilapan besar.
Yahudi Khaibar kemudian meminta bantuan dari keturunan Ghatafan yang tidak jauh penempatan mereka dari penempatan kaum Murrah. Pemimpin Ghatafan iaitu Uyaynah Bin Husn bersetuju memberi bantuan kepada Yahudi Khaibar. Walaupun Harith Bin Auf Al-Murri datang menasihati Uyaynah Bin Husn agar jangan terlibat dengan peperangan ini namun beliau berkeras tetap akan membantu Yahudi Khaibar. Antara faktornya Uyaynah Bin Husn telah ditawarkan separuh dari hasil harta Khaibar sekiranya beliau membantu Yahudi Khaibar. Maka Uyaynah Bin Husn menghantar 1000 orang ke Khaibar membentengi kota Khaibar dan 4000 tenteranya akan menyusul dari belakang.
Peristiwa sebaliknya berlaku apabila 4000 orang tentera Ghatafan yang sudah bergerak menuju ke Khaibar berpatah balik semula ke perkampungan mereka apabila mereka mendengar berita kononnya penempatan mereka diserang. Namun apabila mereka tiba tiada apa pun yang berlaku. Lalu mereka bercadang untuk kembali semula ke Khaibar tetapi sudah terlambat kerana sebahagian dari Khaibar sudah dikuasai oleh tentera muslimin. Pertolongan Allah sentiasa bersama Baginda kerana kaum muslimin yang taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Yahudi Khaibar mulai rasa gentar dan takut walaupun jumlah mereka berkali ganda lebih besar dari tentera Islam selain persenjataan yang lebih lengkap. Kesombongan laungan mereka sudah tidak kedengaran lagi sebaliknya laungan takbir tentera muslimin memecah kesunyian di medan perang. Suara takbir yang dikumandangkan bukan hanya suara biasa tetapi suara kemenangan hasil dari keimanan.
Pos Terkait:  Cheat Lego Batman PS Membuka Semua