Keadaan Rasulullah s.a.w dan Sahabat Di Madinah Setelah Perjanjian Hudaibiyah

Posted on

Rasulullah s.a.w dan Sahabat Kembali ke Madinah

Setelah selesai rombongan kaum muslimin bercukur dan bergunting rambut (bertahalul) serta menyembelih unta maka tidak lama selepas itu mereka semuanya berangkat kembali ke Madinah. Keadaan di Madinah dalam keadaan aman tiada lagi serangan-serangan musuh setelah perjanjian Hudaibiyah dipersetujui. Baru sahaja mereka mengecapi keamanan tiba-tiba masyarakat Madinah dikejutkan dengan satu peristiwa iaitu seorang Sahabat dari Mekah bernama Abu Basir dari Bani Thaqif yang disiksa di Mekah berjaya melepaskan diri dan memohon perlindungan Baginda di Madinah.
Manakala pihak Quraisy pula telah mengirimkan dua orang wakilnya untuk menemui Baginda dan meminta dikembalikan Abu Basir kepada mereka. Wakil Quraisy yang datang bertemu Baginda berkata,
Kami datang kerana menuntut dikembalikan Abu Basir sesuai dengan perjanjian yang kami persetujui itu.”
Baginda tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mematuhi isi perjanjian Hudaibiyah yang menyebut mana-mana orang Mekah yang lari ke Madinah hendaklah dikembalikan ke Mekah. Maka Baginda menyerahkan Abu Basir kepada wakil Quraisy. Abu Basir merasa sedih kerana beliau lari dari siksaan kaum Quraisy demi menjaga akidahnya namun kini Baginda terpaksa mengembalikan beliau kepada musuh yang pasti akan menyiksanya dengan lebih teruk.
Baginda menasihati Abu Basir agar bersabar dan menyakinkan beliau pasti nanti akan datangnya pertolongan Allah. Abu Basir dibawa pergi sebagaimana Jandal Bin Suhail yang dibawa pergi oleh ayahnya dihadapan Baginda dan para Sahabat. Tiada ungkapan yang mampu diucapkan sekadar berdoa agar Abu Basir tabah dan sabar. Hanya kepada Allah jualah kaum muslimin berdoa untuk Abu Basir.
Dalam perjalanan membawa Abu Basir ke Mekah, ketika sampai di satu tempat bernama Zuhulaifah wakil Quraisy telah berhenti untuk berehat. Abu Basir cuba mencari helah untuk melepaskan diri. Lalu beliau berkata kepada seorag wakil Quraisy, “aku melihat pedang kamu sangat istimewa.”
Mendengar pujian Abu Basir terhadap pedangnya maka wakil Quraisy ini pun bangga dan segera mengeluarkan pedangnya dari sarungnya lalu menghunusnya serta berkata, “memang benar, demi Allah ianya adalah istimewa dan aku telah menggunakannya beberapa kali.”
Kemudian berkata Abu Basir, “boleh aku lihat pedang itu?” Wakil Quraisy itu pun memberikan pedang tersebut kepada Abu Basir. Apabila pedang itu berada di tangan Abu Basir lantas dia memanfaatkan dengan segera membunuh wakil Quraisy tersebut.
Seorang lagi wakil Quraisy yang ada bersama terkejut melihat kawannya dibunuh di tangan Abu Basir dan pedang yang terhunus pula masih ditangan Abu Basir. Maka tanpa berlengah lagi beliau segera melarikan diri dengan dikejar oleh Abu Basir hingga sampai ke Madinah. Wakil Quraisy ini lari masuk ke dalam masjid. Rasulullah s.a.w melihat lelaki yang melarikan diri ini adalah wakil Quraisy yang datang bertemu Baginda sebelum ini. Berkata Baginda orang ini dalam ketakutan yang amat sangat.
Apabila tiba di hadapan Baginda berkata wakil Quraisy ini, “kawanku telah dibunuh dan aku juga hampir-hampir dibunuh.” Tidak lama kemudian Abu Basir pun tiba dengan pedang ditangannya. Melihat kedatangan semula Abu Basir dalam keadaan demikian ianya menandakan satu perkara buruk telah berlaku. Keadaan aman di Madinah sebelum ini sudah mula tercalar. Apakah yang terjadi seterusnya? Bagaimana pula Baginda menangani isu ini. Pihak Quraisy pasti tidak akan berdiam diri…
Abu Basir berkata kepada Rasulullah s.a.w, “wahai Rasulullah, kamu sudah memulangkan aku kepada mereka maka kamu telah melaksanakan tanggungjawabmu. Kini aku telah diselamatkan oleh Allah dan aku bukan dibawah tanggungjawab kamu lagi.”
Kemudian Abu Basir memohon untuk tinggal di Madinah namun Baginda tidak mengizinkannya kerana ianya melanggar isi perjanjian Hudaibiyah. Apabila mendengar Baginda berkata begitu maka Abu Basir meminta dilepaskan dan biarlah beliau pergi ke mana sahaja. Baginda berkata itu urusan beliau dan Baginda tidak ada halangan dan tidak bertanggungjawab lagi. Apabila Abu Basir mula melangkah untuk beredar Baginda berkata, “alangkah hebatnya ibunya (Abu Basir), dia akan dapat melancarkan peperangan sekiranya beliau mempunyai satu pasukan.” Kata-kata Baginda didengar oleh Abu Basir.
Abu Basir membawa diri ke pesisir pantai dan tidak kembali ke Mekah. Kisah Abu Basir yang melarikan diri dan bersembunyi di pesisir pantai telah sampai ke Mekah. Pada masa yang tidak lama pula Jandal Bin Suhail pula dapat melepaskan diri dari kurungan di Mekah dan terus menuju ke pesisir pantai untuk bergabung dengan Abu Basir. Beliau juga sedar jika menuju ke Madinah pasti akan dikembalikan semula ke Mekah. Kemudian golongan muslim yang lemah dan ditindas di Mekah juga mengambil peluang serta melarikan diri dan bergabung dengan Abu Basir dan Jandal Bin Suhail.
Kini kumpulan mereka sudah menjadi ramai, ada riwayat menyatakan sudah hampi 70 orang. Abu Basir dan Jandal mengetuai kumpulan ini dan mula melakukan serangan secara gerila terhadap para pedagang Quraisy yang pergi berniaga ke Syam. Harta dan barang dagangan pedagang Quraisy dirampas. Akibat tindakan ini pedagang Quraisy menjadi takut dan mengadu kepada pemimpin Quraisy. Pemimpin Quraisy menghantar wakil untuk bertemu Baginda dan menuntut Baginda mematuhi perjanjian tidak menyerang pedagang Quraisy. Baginda menjelaskan sememangnya perjanjian itu masih dipatuhi. Namun serangan Abu Basir bukan urusan Baginda setelah diserahkan kepada wakil Quraisy dan ianya bukan tanggungjawab Baginda lagi.
Pihak Quraisy bercadang untuk menyerang ‘gerila Abu Basir’ dan Baginda tidak mahu campur urusan Quraisy. Cubaan menyerang ‘gerila Abu Basir’ tidak berjaya kerana kedudukan mereka sukar dikesan, akhirnya kaum Quraisy kembali ke Mekah tanpa hasil. Golongan yang bersama Abu Basir semakin hari semakin bertambah dan serangan terhadap pedagang Quraisy masih tetap berlaku. Pihak Quraisy sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi keadaan semakin bertambah buruk.
Jalan terakhir diambil oleh pemimpin Quraisy adalah menghantar Abu Sufyan untuk bertemu dengan Baginda. Berkata Abu Sufyan apabila tiba di Madinah kepada Baginda,
“Wahai Muhammad, kami merayu kepada kamu dengan nama Allah dan atas nama persaudaraan di antara kita. Syarat yang tekandung dalam perjanjian Hudaibiyah iaitu orang-orang Mekah yang menuju ke Madinah mesti dipulangkan kembali ke Mekah tidak lagi menjadi syarat perjanjian. Kami mahu pedagang kami boleh berjalan berniaga tanpa gangguan.”
Mendengar rayuan wakil Quraisy ini Baginda merasa simpati dan menerima syarat tersebut. Baginda memanggil Umar al Khattab dan berkata,
“Lihat Umar, syarat yang kamu kata dahulu kelemahan kepada umat Islam dan menguntungkan bukan Islam.”
Lalu berkata Umar, “Wahai Rasulullah, aku sudah tahu pandangan kamu adalah lebih berkat daripada pandangan aku.”
Seterusnya Baginda mengutus surat kepada Abu Basir dan meminta mereka kembali ke Madinah. Abu Basir dan kumpulannya gembira mendapat jemputan Baginda. Namun Abu Basir tidak sempat kembali ke Madinah, beliau jatuh sakit dan meninggal dunia dalam keadaan tangannya masih mengenggam surat Baginda.
Pos Terkait:  Cara Menggunakan Plester Mata Ikan