Peperangan Bani Qainuqa’ | Keturunan Orang Yahudi Yang Hidup di Makkah dan Madinah

Posted on

Peperangan Bani Qainuqa’

Bani Qainuqa’ adalah keturunan Yahudi yang tinggal di Madinah. Selepas Hijrah semua kaum terikat dengan perjanjian Madinah (Piagam Madinah) untuk hidup aman damai dalam sebuah negara Madinah. Yahudi ini mempunyai pasar mereka sendiri dan kadang-kadang ada juga orang-orang Islam yang datang ke pasar mereka. Kebencian kepada Islam semenjak kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah tidak pernah padam dalam jiwa mereka. Malah ianya semakin menjadi-jadi semenjak kafir Quraisy tewas dalam perang Badar.
Baginda pernah mengajak kaum Yahudi Bani Qainuqa’ memeluk Islam walaupun mengetahui dari awal lagi mereka amat memusuhi Baginda. Antara seruan Baginda kepada mereka.
“Wahai kaum Yahudi, masuklah ke dalam agama Islam sebelum kamu ditimpa apa yang telah menimpa kaum Quraisy.”
Mendengar begitu mereka berkata, “Wahai Muhammad jangan sombong dengan kejayaan kamu membunuh beberapa orang Quraisy yang tidak mahir tentang peperangan. Jika kamu (berani) memerangi kami, pada waktu itu kamu akan mengetahui kami adalah manusia yang kamu tidak pernah temui.”
Kesombongan kaum Yahudi ini mengundang firman Allah
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ ﴿١٢﴾ قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا ۖ فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَنْ يَشَاءُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِأُولِي الْأَبْصَارِ
Maksudnya : Katakanlah kepada orang-orang yang kafir: “Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan diiringi ke dalam neraka jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat.” Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata biasa melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan siapa yang dikehendaki-Nya dengan bantuan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.(Ali Imran 3:12-13).
Allah memberi amaran kepada mereka yang memandang rendah terhadap pertolongan Allah yang telah diberikan kepada tentera-tentera Badar. Namun kaum Yahudi menjadi semakin melampau sehingga berlaku satu peristiwa yang telah mencetuskan peperangan yang dikenali Peperangan Bani Qainuqa’.
Satu hari seorang wanita muslimah telah pergi ke pasar Bani Qainuqa’ untuk membeli. Beliau telah diganggu oleh peniaga Yahudi untuk melihat wajahnya. Namun wanita tersebut enggan melayan mereka ketika wanita itu duduk seorang lelaki Yahudi telah mengikat tali pada hujung pakaian wanita tersebut. Apabila wanita ini berdiri tali yang mengikat pakaiannya telah menyebabkan terbukalah auratnya. Mereka ramai-ramai ketawa melihat wanita musimah tersebut menyebabkan wanita ini menjerit meminta tolong.
Datang lelaki muslim yang mendengar jeritan wanita tersebut dan telah membunuh Yahudi tersebut. Apabila Yahudi yang lain melihat maka mereka telah ramai-ramai menyerang dan membunuh lelaki muslim ini.
Peristiwa ini telah sampai ke pengetahuan Baginda, lalu Rasulullah s.a.w tanpa berlengah mengarahkan satu pasukan tentera disiapkan untuk menuju ke perkampungan Bani Qainuqa’. Abdullah Bin Ubai seorang munafik yang mempunyai hubungan akrab dengan golongan Yahudi telah menemui Rasulullah s.a.w dan merayu agar Baginda tidak meneruskan tindakan menuju ke perkampungan Yahudi untuk berperang.
Baginda tidak mengendahkan cadangan Abdullah Bin Ubai. Pasukan tentera muslimin digerakkan untuk berhadapan dengan Yahudi. Maruah wanita Islam bukan satu perkara yang boleh dipermainkan. Pembunuhan tanpa kembali merujuk kepada Baginda sebagai ketua negara Madinah adalah pelanggaran terhadap sistem undang-undang yang telah dibentuk.
Baginda telah mengerahkan pasukan tentera Islam mengepung perkampungan Bani Qainuqa’. Pengepungan berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke 2 hijrah selama 15 hari. Kesan dari pengepungan ini tiada siapa yang boleh masuk dan keluar dan bekalan makanan terputus. Pada peringkat awal kaum lelaki Yahudi bertahan dengan kekuatan berjumlah 700 orang lengkap bersenjata untuk menghadapi tentera muslimin.
Rasulullahs.a.w. menuntut kepada Bani Qainuqa’ menyerahkan pembunuh kepada lelaki muslim namun mereka tetap enggan menurut arahan Baginda. Kaum Yahudi Bani Qainuqa’ yang pada mulanya merasakan mereka kuat dan boleh menghadapi tentera muslimin dengan mudah akhirnya menjadi takut. Kepungan 15 hari telah menyebabkan mereka akhirnya menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w.
Kesemua lelaki diikat dan dibawa untuk diadili dan dijatuhkan hukuman oleh Rasulullah s.a.w sebagai syarat untuk menghentikan kepungan ke atas Bani Qainuqa’. Apabila berhadapan dengan Baginda para Sahabat tertanya-tanya apakah hukuman ke atas mereka ini. Seolah-olah Baginda akan menjatuhkan hukuman mati.
Abdullah Bin Ubai mulai resah dengan tindakan Baginda. Lalu beliau segera menghadap Baginda dan merayu agar tidak dijatuhi hukuman mati kepada mereka. Bani Qainuqa’ memang sangat akrab dengan Abdullah Bin Ubai. Pada peringkat awalnya Baginda tidak melayan desakan Abdullah Bin Ubai namun akhirnya Baginda bersetuju untuk tidak menjatuhi hukuman mati.
Abdullah Bin Ubai diberikan mandat oleh Baginda untuk membuat keputusan terhadap Bani Qainuqa’. Lalu beliau segera memberi arahan membebaskan mereka dengan diberikan pengampunan. Kesemua mereka dibebaskan tetapi ketakutan tetap sentiasa menyelubungi jiwa mereka hasil tindakan berani Baginda. Bermula dari saat itu ramai dikalangan mereka mula keluar berhijrah dari perkampungan Bani Qainuqa’ menuju ke Khaibar dan Wadi Al-Qura.
Keluarnya mereka dari perkampungan Bani Qainuqa’ telah memberi tamparan hebat kepada mereka. Baginda tidak sesekali membiarkan sesiapa cuba menghina Islam dan menjadikan wanita muslimah sebagai bahan murahan. Pembunuhan yang dilakukan oleh mereka terhadap seorang lelaki muslim akhirnya dibayar dengan seluruh perkampungan terpaksa dikosongkan.
Dalam pada itu Baginda tidak terus bertindak dengan menyerang perkampungan Bani Qainuqa’. Setiap langkah Baginda dilihat tidak menjadikan peperangan sebagai perkara utama yang akan mengorbankan banyak nyawa. Strategi Baginda sudah cukup mengerunkan musuh Islam.
Pos Terkait:  Perbedaan Antar Suku Bangsa Adalah Contoh Konflik dari