Berikut Asal-usul Bermulanya Perang Uhud | Dendam Kaum Kafir Quraisy

Posted on

Rentetan Berlakunya Peperangan Uhud.

 

Pihak Quraisy masih tidak dapat lupa dan menyembuhkan kesan luka dari kekalahan perang Badar. Kematian para panglima Quraisy sentiasa menyelubungi jiwa mereka. Kini mereka menghadapi masalah lebih besar iaitu untuk berdagang ke Syam kerana sebelum ini laluannya adalah menyelusuri jalur Madinah. Laluan mereka pastinya akan disekat oleh penduduk muslim Madinah sekiranya masih menggunakan laluan ini. Kerisauan mereka ialah bagaimana untuk menuju ke Syam tanpa melalui jalur Madinah.
Akhirnya mereka mendapat laluan baru ke Syam dengan menyelusuri jalan ke Iraq terlebih terlebih dahulu. Walaupun laluan ini akan memakan masa yang lebih lama namun ianya adalah jalur yang paling selamat tanpa dapat dihidu oleh pasukan dari Madinah. Bagi perjalanan yang pertama melalui jalur ini Abu Sufian telah mengetuainya. Jumlah harta yang dibawa untuk didagangkan menurut ahli sirah ialah sekitar 1 juta dirham wang perak. Wang ini digunakan untuk membeli barang di Syam dan dijual pula ke Yaman.
Ketika mereka mendapat nikmat dari perniagaan yang maju, Allah memberi ingatan agar mensyukuri nikmat dan hanya menyembah Allah. Lihat firman Allah,
لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآَمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (4)
Maksudnya : Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy, (iaitu) kebiasaannya aman tenteram perjalanan mereka pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan musim panas (ke negeri Syam). Oleh itu hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah ini (Ka’bah). Tuhan yang telah memberi penghidupan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy 106:1-4)
Namun perjalanan dagang melalui jalur baru menuju ke Syam dan Yaman akhirnya bocor juga. Ianya dibongkar oleh seorang pembesar kafir Quraisy iaitu Nuaim Bin Mas’ud. Beliau berkawan dengan seorang Sahabat bernama Sulait. Mereka berdua berkawan baik semenjak berada di Mekah lagi. Pada satu hari ketika mereka berada dalam majlis minum arak Nuaim telah menceritakan tentang jalan baru yang digunakan oleh pedagang Quraisy menuju ke Syam dan Yaman. Mendengar berita tersbut Sulait yang tidak mabuk (sebelum itu wahyu belum turun mengharamkan arak) terus mendapatkan Baginda untuk mengkhabarkan berita tersebut.
Baginda telah mengarahkan pasukan tentera Islam digerakkan dengan pantas untuk menyekat rombongan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Kali ini serangan berlaku menyebabkan Abu Sufyan dan rombongan terpaksa melarikan diri dengan meninggalkan harta yang hendak dibawa berdagang. Harta rampasan telah dibawa balik ke Madinah oleh tentera muslimin.
Ada persoalan yang ditimbulkan mengapakah Baginda begitu cepat bertindak untuk menyekat rombongan dagang dari kalangan Quraisy yang menuju ke Syam dan Yaman? Jawapannya adalah seperti berikut:
1. Ketika umat Islam Mekah ingin berhijrah mereka dilarang oleh kafir Quraisy untuk membawa apa-apa jua harta benda mereka keluar dari Mekah. Lalu mereka berhijrah dengan sehelai sepinggang.
2. Harta benda umat Islam seperti rumah, tanah kebun, perniagaan dan sebagainya semuanya telah dirampas oleh kafir Quraisy.
3. Kini dengan harta tersebut kafir Quraisy jadikan ianya modal untuk berdagang ke Syam dan Yaman. Apa yang dibawa itu adalah harta kaum muslimin yang telah berhijrah.
4. Walaubagaimanapun Baginda hanya mengarahkan agar sekatan dan merampas barang dagangan kafir Quraisy dan bukannya menyerang untuk memulakan peperangan.
5. Apabila Islam kuat maka tiadalah lagi istilah membenarkan musuh menindas. Maruah umat Islam perlu dipertahankan agar musuh-musuh Islam tahu bahawa umat Islam bukanlah golongan yang penakut dan mudah dipermainkan.
6. Kini harta yang dirampas dahulu hendaklah diambil kembali kerana ianya bukan diberikan dengan kerelaan tetapi adalah perampasan hasil usaha umat Islam dengan cara yang halal.
Di Mekah Abu Sufyan giat mengumpul persediaan untuk menyerang Madinah. Mereka merasakan selagi Madinah dan Islam kuat maka peluang untuk mereka meneruskan hidup akan menjadi sukar. Bahkan mereka khuatir jika Madinah bertambah kuat pasti satu hari nanti Mekah akan menjadi sasaran pula.
Oleh itu pelbagai usaha dilakukan oleh Abu Sufyan dengan mengajak kabilah-kabilah lain menyertai, menyokong dan membiayai segala kelengkapan tenteranya kononnya untuk mengembalikan kemuliaan Quraisy dan Mekah. Bantuan datang dari pelbagai kabilah sehingga Abu Sufyan berjaya mengumpul kelengkapan yang sudah cukup kuat untuk menyerang Madinah.
Sudah satu tahun genap tempoh berakhirnya Perang Badar dan kini dengan ketumbukan berjumlah 3000 tentera Quraisy, 1000 ekor unta dan 50,000 wang emas sedang bergerak menuju ke Madinah. Abu Sufyan lebih yakin mereka akan menang dalam peperangan ini kerana dahulunya dalam Perang Badar jumlah tentera Quraisy hanya 1000 orang sahaja. Perkiraan logik akal mereka telah melupakan antara punca kekalahan tentera Quraisy di medan Badar adanya pertolongan Allah dengan datangnya bantuan dari kalangan Malaikat.
Berita tentang kafir Quraisy bergerak menuju ke Madinah telah sampai ke pengetahuan Baginda. Tentu sekali pergerakkan jumlah tentera kafir Quraisy yang ramai tidak dapat disembunyikan lagi. Apabila Baginda mendapat berita perkara pertama yang dilakukan adalah memanggil sidang mesyuarat untuk menyusun strategi bagi menghadapi musuh yang datang menyerang.
Apakah strategi yang dilakukan oleh Baginda? Bagaimana pandangan para Sahabat untuk menghadapi musuh yang jumlahnya sangat besar?
Pos Terkait:  Cara Laporkan Akun Facebook Yang Dibobol