Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (Rasa keiba’an salah satu pemimpin Quraisy)

Posted on
Kisah lanjutan….

Rasa iba dari salah satu pemimpin Quraisy kepada nabi dan para sahabat (Hisyam bin Amru (dari kabilah Bani Amir bin Luaiy).

 

Pemimpin Quraisy yang masih waras dan sihat akalnya melihat kesengsaraan sahabat-sahabat dan jiran mereka dari kalangan Bani Hashim dan Bani Mutalib serta yang memilih Islam dianiaya dengan begitu rupa adalah perbuatan yang zalim. Seorang dari mereka yang prihatin adalah Hisham bin Amru (dari kabilah Bani Amir bin Luaiy). Beliau menjadi orang pertama yang berani menzahirkan hasrat agar perjanjian yang tidak betul ini hendaklah dimansuhkan. Malah beliau adalah antara orang yang sering menyeludup barang makanan sejak berlakunya pemulauan terhadap Bani Hashim dan Bani Mutalib pada waktu malam untuk diberikan kepada kaum kerabatnya serta mereka yang bersama Rasulullah.
Pada satu hari Hisham bin Amru telah mengunjungi secara diam-diam ke rumah Zuhair bin Abi Umayyah (dari kabilah bani Makhzum) untuk menyampaikan hasratnya agar beliau menyokongnya untuk membatalkan piagam Mekah yang menindas dan zalim itu. Berlaku dialog antara mereka berdua membincangkan untuk membatalkan perjanjian itu,
Berkata Hisyam, “wahai Zuhair, Adakah engkau redha makan dan minum sedang bapa-bapa saudara sebelah ibumu sedang menderita?”
Apabila mendengar kata-kata Hisham lalu Zuhair menjawab, “apa yang mampu aku lakukan, sedangkan aku hanya seorang. Sekiranya ada orang lain yang bersamaku, nescaya aku akan membatalkan perjanjian itu.
Hisham berkata, “sebenarnya engkau telah temui orang itu.”
Bertanya Zuhair, “siapa?”
Dijawab oleh Hisham, “aku!”
Mendengar jawapan Hisham lantas Zuhair berkata, “jika begitu, kita perlu mencari seorang lagi.”
Seterusnya Hisham menuju untuk mengunjungi Al Mut’im bin Adi. Hisham telah mengajak untuk mengenangkan keturunan Al Mat’am yang mempunyai rantaian dari keturunan Abdul Manaf. Malah Al Mut’im juga adalah bersaudara dengan Bani Hashim dan Bani Mutalib. Hisham menempelak Al Mat’am kerana bersetuju dengan pemimpin Quraisy dalam isu pemulauan terhadap Bani Hashim dan Bani Mutalib.
Berkata Al Mut’im,  “sebenarnya aku juga tidak setuju. Tapi apa yang mampu aku lakukan, aku hanya seorang. Sekiranya ada seorang lagi bersamaku, nescaya aku akan batalkan perjanjian itu.”
Lalu dijawab oleh Hisham, “sebenarnya engkau sudah ada dua orang!”
Lantas ditanya oleh Al Mut’im, “siapa?”
Dijawab oleh Hisham,  “aku dan Zuhair.”
Apabila mendengar kata-kata Hisham maka Al Mut’im memberi cadangan, “kalau begitu, kita perlu mencari seorang lagi, orang keempat.”
Kemudian Hisham segera bertemu Abi Al Bukhturi bin Hisham. Dialog yang sama berlaku diantara mereka. Abi Al Bukhturi setuju untuk bersama dengan yang rakan yang lain. Lalu Hisham mencari seorang lagi rakan mereka yang iaitu Zam’ah bin Al Usud. Beliau turut bersetuju dengan dengan cadangan Hisham. Kemudian Hisham memberitahu nama-nama yang akan bersama dengannya yang turut serta akan membatalkan perjanjian zalim itu.
Seterusnya kelima-lima orang ini bertemu di Hajun berbincang dan mencapai satu kata putus untuk memusnahkan serta membatalkan perjanjian pemulauan ke atas Bani Hashim dan Bani Mutalib. Zuhair telah memberi cadangan beliau yang akan memulakan pembicaraan dan kemudian barulah akan disambut dan disokong oleh mereka berlima. Apa reaksi Abu Jahal?
Bersambung esok. Insya Allah
Ustaz Sabir
13 hb. Julai 2017
19 Syawal 1438H
Tazkirah Jiwa Siri 257
CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 24)
Sampai masanya Hisham bin Amru, Zuhair bin Abu Umayyah, Al Mut’im bin Adi, Abi Al Bukhturi bin Hisham, Zam’ah bin Al Usud melaksanakan apa yang telah mereka persetujui bersama. Maka keesokan harinya kelima-lima mereka menuju ke Masjidil Haram. Zuhair melakukan tawaf sehingga selesai 7 pusingan dengan memakai pakaian yang indah lagi terbaik. Lantas setelah selesai tawaf beliau menuju ke arah kumpulan manusia yang berada di situ. Kemudian Zuhair berkata dengan suara yang kuat,
“Wahai penduduk Mekah, adakah kita rela makan makanan dan memakai pakaian sedangkan Bani Hashim menderita tanpa makanan dan pakaian. Demi Allah, aku tidak boleh biarkan perkara ini selagi surat perjanjian yang kejam itu tidak dikoyak.”
Apabila Zuhair mengungkap begitu maka Abu Jahal bingkas bangun dan berkata,
“Penipu! Tidak sama sekali. Demi Allah kamu tidak sesekali akan melanggar perjanjian itu. Surat itu tidak boleh dikoyakkan.”
Belum sempat Abu Jahal meneruskan bantahannya tiba-tiba bangun pula Zam’ah bin Al Usud dan berkata,
“Demi Allah, kamulah yang lebih penipu. Kami tidak pernah merestui perbuatan kamu menulis surat perjanjian itu dari mula lagi.”
Abu Jahal cuba untuk menjawab mempertahankan hujahnya tetapi bangun pula Abi Al Bukhturi memintas Abu Jahal,
“Benar apa yang disebut oleh Zam’ah. Kami tidak pernah merestui dan kami tidak pernah setuju dengan perjanjian itu.”
Abu Jahal terperanjat dan tidak menyangka apa yang telah berlaku di hadapannya. Belum sempat dia memikirkan helah barunya bangun pula Al Mut’im bin Adi pula menyatakan,
“Ya, benar apa yang kamu berdua perkatakan. Siapa kata sebaliknya, dia adalah seorang yang menipu. Kami berlepas diri kepada Allah dari apa yang ditulis dalam perjanjian itu.”
Seterusnya Hisyam pun berkata pula, sama seperti yang dibicarakan oleh sahabat -sahabatnya yang lain.
Kenyataan-kenyataan mereka telah membuatkan Abu Jahal menjadi marah dan berkata,
“Ini pastinya perancangan jahat yang telah kamu aturkan sejak semalam dan kamu tidak berpakat di sini.”
Segala yang berlaku di hadapan Kaabah ini disaksikan oleh Abu Talib yang turut berada dalam Masjidil Haram ketika itu. Kemudian beliau terus menuju kepada mereka dan berkata,
“Wahai manusia. Aku datang ke sini untuk melihat adakah benar apa yang dikhabarkan oleh anak saudaraku Muhammad. Dia berkata, Allah telah memberitahu bahawa Dia telah mengutuskan anai-anai untuk menggigit dan memusnahkan surat perjanjian kamu. Aku datang untuk melihat adakah ia benar. Jika tidak benar, maka anak saudaraku adalah pembohong dan aku tidak bertanggungjawab lagi ke atasnya apa yang kamu mahu lakukan. Tetapi jika benar, maka hendaklah kamu membatalkan pemulauan dan kezaliman ini.”
Apabila mereka mendengar kata-kata Abu Talib, mereka serentak berkata,
“Itulah yang seadil-adilnya.”
Dengan kata-kata itu, Al Mut’im segera memanjat dinding Kaabah untuk mengoyak surat perjanjian itu. Tiba-tiba dia mendapati keseluruhan surat itu sudah dimakan anai-anai kecuali ruang yang bertulis, “Dengan nama Allah…” (باسمك اللهم)
Dengan peristiwa itu berakhirlah pemulauan yang telah berlanjutan selama 3 tahun.. Rasulullah dan umat Islam keluar beramai-ramai ke Kota Makkah untuk berurusan seperti sediakala. Ianya adalah merupakan hari yang penuh bersejarah. Bulan Muharram tahun ke-10 yang menyaksikan orang-orang kafir melihat sendiri mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasulullah. Allah telah memberikan kemenangan kepada mereka melalui perbalahan dikalangan pemimpin Quraisy di sendiri.
Walaupan bukti surat perjanjian itu musnah sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah, namun yang kufur terus tetap dalam kekufuran mereka. Keajaiaban mukjizat hanya dianggap sebagai sihir. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sebagaimana dijelaskan al Quran,
وَإِنْ يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُسْتَمِرٌّ
Maksudnya : Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata: “(Ini adalah) sihir yang terus
menerus”. (al-Qamar 54: 2)
Rasulullah terus melaksanakan tugas dakwah seperti biasa. Kafir Quraisy tetap masih tidak berpuas hati atas apa yang berlaku. Belum berakhir rancangan jahat mereka. Apa pula yang berlaku? Sabar untuk kisah selanjutnya….bersambung….
Pos Terkait:  Cara memindahkan file foto dari galeri ke google Drive