Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw | Raja Najasi

Posted on

Kisah lanjutan dari “kaum pertama yang memeluk Islam”

…Wakil Quraisy dibenar menghadap Raja Najasyi lalu mereka telah mempersembahkan hadiah yang dibawa kepada Raja Najasyi. Raja Najasyi menerima dengan gembira hadiah dari mereka kemudian berkatalah mereka berdua kepada Raja untuk membawa pulang rombongan yang telah berhijrah ke Mekah. Mereka mengatakan rombongan yang berhijrah ini telah meninggalkan agama datuk nenek moyang dan menganut satu agama yang baru. Bahkan rombongan ini tidak juga menganut agama penduduk Habsyah.
Mendengar kata-kata mereka maka berkatalah Raja Najasyi beliau mahu mendengar sendiri dari rombongan ini sebelum membuat apa-apa keputusan. Maka rombongan ini diminta hadir ke istana menghadap Raja Najasyi. Jaafar bin Abi Talib (sepupu Rasulullah) menjadi jurucakap bagi pihak rombongan ini. Apabila tiba di istana mereka mendapati Amru dan Abdullah wakil Quraisy sudah berada di istana. Kemudian Raja Najasyi masuk ke istana dan semuanya memberi tunduk hormat yang hampir menyamai posisi sujud. Namun rombongan Islam tidak sujud. Amru mengambil peluang dengan mengatakan kepada Raja Najasyi lihatlah mereka tidak menghormati tuanku dengan tidak sujud kepadanya.
Bertanyalah Raja Najasyi mengapa kamu tidak memberi tunduk hormat seperti yang dilakukan orang lain. Maka dijawab oleh Jaafar bin Abi Talib bahawa mereka hanya sujud kepada Allah. Raja Najasyi brtanya tentang agama baru mereka dan dijelaskan oleh Jaafar bin Abi Talib,
Wahai Raja, sesungguhnya kami sama sekali tidak menciptakan agama baru. Tetapi Muhammad bin Abdullah telah diutus oleh Rabbnya untuk menyebarkan agama dan petunjuk yang benar serta mengeluarkan kami dari kegelapan menuju terang benderang. Pada awalnya kami adalah kaum yang hidup dalam kebodohan. Kami menyembah berhala, memutuskan hubungan kekeluargaan, memakan bangkai, berlaku zalim, tidak menyayangi tetangga dan yang kuat selalu menekan yang lemah. Dalam keadaan demikian, Allah telah mengutuskan seorang rasul yang kami ketahui asal-usulnya, kami percayai kejujuran, amanah dan kesuciannya untuk menyeru kami kepada Allah dan mengajak kami melakukan ibadah dan mengesakanNya dan meninggalkan penyembahan terhadap berhala dan batu-batu yang tidak memberi manfaat dan mudharat, mengajak kami supaya bersaudara dan berakhlak mulia serta mengajak kami meninggalkan dosa dan maksiat.
Penjelasan ringkas dan padat dengan segala amal kebaikan menyenangkan Raja Najasyi. Lalu Raja Najasyi bertanya tentang kebenaran agama yang disebut oleh Jaafar bin Abi Talib. Jaafar telah membaca beberapa ayat dari surah Maryam
وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا (16) فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا (17) قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا (18) قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ لأهَبَ لَكِ غُلامًا زَكِيًّا (19) قَالَتْ أَنَّى يَكُونُ لِي غُلامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا (20) قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا (21)
Maksudnya : Dan ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Al-Quran, iaitu ketika dia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur, maka dia mengadakan tabir (yang melindunginya) dari mereka. Lalu Kami utus roh Kami (Jibril) kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna. Maryam berkata, “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa.” Ia (Jibril) berkata, “Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci.” Maryam berkata, “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki, sedangkan tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang pezina!” Jibril berkata, “Demikianlah Tuhanmu berfirman, perkara itu adalah mudah bagiKu dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, perkara itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan’.
(Maryam 19:16-21)
Setelah mendengar penjelasan Jaafar Bin Abi Talib berkatalah Raja Najasyi,
“Apa yang mereka bacakan kepada kami dan apa yang dibawa oleh Isa berasal dari sumber yang sama. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka sama sekali kepada kamu selama aku masih hidup.”
Raja Najasyi adalah seorang yang yang alim dalam agama Nasrani dan membaca Injil. Beliau mengetahui kebenaran ajaran yang dianuti oleh Jaafar kerana apa yang diungkapkan oleh mereka sama seperti yang dijelaskan oleh Injil. Beliau seterusnya mengarahkan segala hadiah yang diberikan kepadanya dipulangkan kembali kepada wakil Quraisy dan memberi jaminan keselamatan kepada rombongan Islam ini. Bahkan Raja Najasyi meminta Jaafar mengajarkan kepadanya tentang agama yang mereka anuti.
Wakil Quraisy pulang dengan hampa dan misi mereka gagal. Tidak lama selepas itu Raja Najasyi memeluk Islam walaupun tidak sempat bertemu dengan Rasulullah. Raja Najasyi menghadapi komplot pemberontakkan dari dalam akibat menerima Islam. Penasihat istana yang tidak senang dengan penerimaan Islam oleh beliau telah melancarkan peperangan. Namun dalam peperangan ini mereka tewas dan Raja Najasyi terus memerintah sehingga wafat dalam keadaan sebagai seorang muslim.
Jibril telah mengkhabarkan tentang kewafatan Raja Najasyi, Baginda Rasulullah dan para sahabat bangun dan melakukan solat ghaib atas jenazah beliau. Semoga Allah meredhai Najasyi dan memasukkannya ke dalam syurga. Sesungguhnya Raja Najasyi telah memberi bantuan besar kepada kaum muslimin ketika mereka lemah, memberikan keselamatan ketika mereka ketakutan dan dia melakukannya semata-mata kerana mencari redha Allah.
Kisah Bersambung esok. Insya Allah...
Pos Terkait:  Apakah Penting Setiap Individu Memiliki Motivasi Berprestasi? Jelaskan