Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (Dahsyatnya ujian Nabi dan para sahabat yang baru memeluk agama Islam oleh kaum Quraisy)

Posted on
Kisah Lanjutan….

Dahsyatnya Ujian Para Sahabat Yang Baru Memeluk Agama Islam

 

Cabaran bagi para sahabat Rasulullah yang pada peringkat awal memeluk Islam amat dahsyat. Tidak terbayang kesukaran dan penderitaan yang mereka tanggung. Kafir Quraisy yang telah menyiksa kaum muslimin  dengan berbagai cara tetap masih tidak berpuas hati selagi Rasulullah tidak dihapuskan. Pada mereka jalan untuk menutup dakwah tiada jalan lain melainkan Rasulullah mesti dilenyapkan dari muka bumi.
Abu Talib ketika itu yang merupakan pemimpin Quraisy telah dapat mengesan perancangan musyrikin Mekah yang akan bertindak kejam kepada Rasulullah. Beliau segera mengumpul kaum kerabat Bani Mutalib yang bersimpati dengan Rasulullah untuk tetap memberi perlindungan atas dasar keluarga Abdul Mutalib. Walaupun bukan semua bersetuju dengan ajakan Rasulullah namun faktor kekeluargaan dan kabilah dalam bangsa arab sangat menebal. Tindakan segera diambil oleh Abu Talib dengan mengarahkan disembunyikan Baginda di celah bukit di Mekah agar Baginda selamat dari tindakan kejam musyirikin yang telah berpakat.
Musyrikin Mekah menyedari tindakan Abu Talib yang telah berpakat dengan keluarga  Abdul Mutalib untuk terus melindungi Rasulullah.  Siapa lagi yang menjadi penyampai berita ini kalau bukannya Abu Jahal. Hasil maklumat yang diterima mereka telah mengambil tindakan dengan mengumpul musyrikin Mekah dan bermesyuarat. Hasil dari perbincangan itu mereka telah membuat beberapa keputusan.
1. Memusuhi Bani Hashim dan Bani Mutalib
2. Tidak ada komunikas, jual beli, ziarah menziarahi, perkahwinan dan sebagainya sehingga mereka menyerahkan Rasulullah untuk dibunuh.
3. Tiada sesiapa dibenarkan menjamu makanan kepada Bani Hashim dan Bani Mutalib
Perjanjian itu telah ditulis seperti maksud berikut:
“Supaya mereka tidak menerima dari Bani Hashim sebarang perdamaian selama-lamanya dan tidak akan berkasihan belas dengan mereka kecuali apabila mereka menyerah Muhammad untuk dibunuh”
Ibnu al-Qayyim menyebut : Piagam ini telah ditulis oleh Mansur bin Ikramah bin Amir bin Hashim, tetapi ada pendapat mengatakan tulisan itu dibuat oleh Nadhr bin al-Harith, namun pendapat yang sahih ialah Baghidh bin Amir bin Hashim di mana Rasulullah berdoa dan bersumpah ke atasnya dengan takdir Allah tangannya yang menulis piagam itu lumpuh.
Setelah piagam selesai ditulis, kemudian dibawa ke dalam Kaabah dan digantung di dalamnya. Dengan itu Bani Hashim dan Bani Muttalib muslim dan kafirnya kecuali Abu Lahab sahaja, kesemua mereka berkurung di lorong Abi Talib mulai malam awal Muharam tahun ke tujuh kebangkitan Rasulullah.
Kesan dari tindakan musyrikin ini, tekanan kesusahan kepada umat Islam Mekah makin bertambah. Mereka diboikot sehingga sukar untuk mendapat makanan dan keperluan hidup. Ramai yang kelaparan akibat makanan yang tidak dijual oleh penduduk Mekah kepada mereka. Sehingga ada dikalangan mereka hanya memakan pucuk kayu.  Tangisan anak-anak yang kelaparan di mana-mana dapat didengari.
Tempoh pemulauan berlarutan lama, ada riwayat menyatakan hampir 3 tahun. Kesannya antara yang berlaku adalah kebuluran, kesakitan dan berbagai lagi dirasai oleh kaum Muslimin. Namun tidak kesemua pemimpin Quraisy bersetuju dengan piagam yang keterlaluan ini setelah melihat rakan dan jiran mereka yang kelaparan, kehausan dan kesakitan. Mereka mulai merasa simpati dan timbul rasa bersalah atas kezaliman yang dilakukan.
Antara yang simpati kepada kaum Muslimin adalah pemimpin Quraisy yang benama Hakim, sewaktu itu beliau belum lagi menerima Islam. Satu hari dia telah menaiki unta membawa makanan dan telah dilihat oleh Abu Jahal yang bertanya ke mana beliau hendak pergi. Hakim tidak mahu melayan Abu Jahal dan mengatakan itu adalah urusannya. Berlaku pergelutan diantara mereka berdua kerana Abu Jahal menghalang Hakim dari membawa makanan kepada Bani Mutalib. Kemudian muncul seorang lagi pemimpin Quraisy yaitu Abu al Buthuri yang menyokong Hakim. Beliau berhujah Hakim adalah pemimpin Quraisy dan tiada siapa berhak menghalang apa yang hendak dilakukan olehnya.
Jawapan yang diberikan oleh Abu al Buthuri telah
menyebabkan Abu Jahal menolak Abu al Buthuri. Tindakan pantas telah diambil oleh Abu al Buthuri dengan menampar Abu Jahal dan berlaku pergaduhan antara mereka yang akhirnya Abu Jahal tewas lalu dia meninggalkan mereka berdua. Hakim meneruskan perjalanannya membawa makanan kepada mereka yang ditindas, namun makanan itu tidak mencukupi untuk mereka semua yang sememangnya dalam kelaparan yang amat sangat.
Melihat kaum muslimin yang kelaparan dan ada yang memakan rumput kering telah meruntun jiwa sebahagian pemimpin Quraisy yang tidak dapat menerima kekejaman dari kabilah mereka. Apakah tindakan yang diambil oleh mereka?
Kisah Bersambung…..
Pos Terkait:  Cek Angsuran CIMB Niaga Auto Finance