Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 17) Penyiksaan Terhadap Sahabat Khabbab Bin Al Arat

Posted on

Penyiksaan oleh kafir Quraisy kepada Seorang lagi dari sahabat Nabi adalah *Khabbab Bin Al Arat*.

Kegilaan kafir Quraisy berterusan menyiksa penganut Islam. Seorang lagi sahabat Nabi yang diperlakukan dengan kejam adalah *Khabbab Bin Al Arat*. Beliau  masih belum baligh ketika dibeli oleh seorang wanita bernama Ummu Ammar di pasar. Dari kecil beliau telah diajar dan bekerja sebagai pembuat pedang. Kemahiran Khabbab dalam membuat pedang dikagumi dan terkenal di Mekah. Walaupun masih di usia remaja namun beliau mempunyai akal yang cerdik dan matang. Beliau sememangnya tidak dapat menerima perbuatan kafir Quraisy menyembah berhala. Sehinggalah satu hari beliau mendengar tentang dakwah Rasulullah dan beliau menerima Islam sebagai anutan agamanya.
Berita tentang keislaman Khabbab sampai ke pengetahuan kafir Quraisy. Memandangkan Khabbab merupakan seorang hamba dan tiada sesiapa pun ahli keluarga dan kabilah yang mampu mempertahankannya maka kafir Quraisy mengambil peluang untuk menyiksa Khabbab. Satu hari mereka mendatangi Khabbab dan berkata benarkah beliau telah kafir dengan mengikuti agama anak Bani Hashim. Khabbab menjawab sebenarnya dia tidak kafir bahkan dia telah beriman kepada Allah dan Rasulullah serta beliau telah mencampakkan berhala yang disembah oleh Quraisy yang tidak mampu memberikan manfaat dan mudharat.
Akibat dari jawapan dan keberaniannya maka beliau telah dipukul dengan teruk pada waktu itu juga oleh kafir Quraisy. Penyiksaan kepada Khabbab dilakukan hampir sama seperti yang dilakukan kepada Bilal Bin Rabah bahkan lebih dari itu. Mereka memakaikan baju besi lalu dijemur di terik padang pasir yang panas, dibiarkan kehausan dan dipukul. Namun Khabbab tetap dengan keimanannya. Batu yang dibakar panas hingga menjadi bara diletakkan di punggung Khabbab. Kesakitan yang tidak mampu digambarkan.
Ummu Ammar majikan Khabbab tidak terkecuali menyiksa Khabbab dengan kejam. Antara yang dilakukan olehnya adalah meletakkan besi yang panas diatas kepala Khabbab sehingga terbakar dan pengsannya Khabbab. Ianya dilakukan setiap hari sehinggalah Khabbab pernah berdoa agar Allah memberi balasan serupa kepada Ummu Ammar. Doa Khabbab dimakbul Allah sehinggalah satu hari Ummu Ammar mengalami sakit kepala yang teramat sangat dan menjerit kesakitan. Pelbagai cara mengubatinya gagal sehinggalah ada yang menganjurkan diletakkan besi panas keatas kepala Ummu Ammar bagi mengubatinya. Akhirnya Ummu Ammar merasai kesakitan dahsyat sebagaimana yang telah diperlakukan kepada Khabbab.
Satu hari Khabbab telah datang menemui Rasulullah dalam keadaaan menangis mengadu hal penyiksaan yang berlaku kepadanya. Beliau menunjukkan kesan azab kepada Rasulullah. Seterusnya dia mohon kepada Rasulullah agar Baginda berdoa untuk mereka yang diazab serta mendapat bantuan dan kemenangan. Rasulullah menjawab permintaan beliau sebagaimana di riwayatkan oleh Bukhari,
Rasulullah s.a.w bersabda,”Sungguh ada di antara orang-orang yang beriman (para nabi) sebelum kamu yang ditangkap, lalu digalikan lubang dan ditanam, kemudian digergaji kepalanya sehingga terbelah dua badannya, ada yang disikat dagingnya dengan sikat besi, namun itu semua tidak sedikit pun menghalang dari agamanya. Demi Allah, agama ini akan sempurna, sehingga seorang boleh menunggang kenderaannya sendiri dari San’a hingga Hadramaut dalam keadaan tidak takut kecuali kepada Allah dan risau (serangan) serigala pada kambingnya, akan tetapi kamu semua inginkan kemenangan yang segera.”
Selepas mendengar kata-kata Rasulullah, Khabbab menjadi lebih tenang dan menyakini kata-kata Rasulullah. Khabbab tetap sabar dan menekuni mempelajari al Quran sehingga mahir dan menjadi guru yang mengajarkan al Quran. Antara yang pernah belajar dengannya adalah anak Umar al Khattab iaitu Fatimah dan suaminya secara senyap-senyap sebelum Umar memeluk Islam.
Khabbab sempat hidup sehingga Khalifah yang keempat. Beliau menjadi kaya dan sentiasa takut sekiranya Allah memberi balasan kebaikan di dunia sehingga tidak bersisa lagi di akhirat. Lalu hartanya digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Hayatilah firman Allah,
‎الم ﴿١﴾ أَحَسِبَالنَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
*Maksudnya : Alif laf mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta. (al Ankabut 29:1-3).
Kisah Bersambung….
Pos Terkait:  Resensi Novel Dian Yang Tak Kunjung Padam: Kisah Cinta yang Mengharukan