Biografi Dan Perjalanan Dakwah Rasulullah Muhammad Saw (bagian 16) penyiksaan kepada Amar bin Yasir oleh kafir Quraisy

Posted on
Di Antara sahabat lain yang disiksa dengan kejam adalah *keluarga Yasir.* Nama penuh beliau adalah *Yasir Bin Amir* berasal dari Yaman dan telah bermukim di Mekah serta mengahwini seorang hamba yang bernama *Sumayyah Binti Khayyath*. Mereka dikurniakan putera yang bernama *Ammar Bin Yasir*. Keluarga ini telah disiksa dengan begitu dahsyat sekali.

 

Kafir Quraisy mula menyelidik mencari siapa lagi yang mengikut dakwah Rasulullah. Jika yang bersama Baginda adalah orang bangsawan dan berpengaruh mereka hanya mengertak dan memberi amaran. Sebaliknya jika yang bersama Baginda adalah golongan kebanyakkan, fakir, miskin dan hamba maka penyiksaan fizikal yang kejam akan dilakukan oleh kafir Quraisy.
Ammar Bin Yasir telah mendengar tentang dakwah Rasulullah dari sumber yang berlegar secara senyap. Kemudian dia mengambil keputusan bertemu dengan Rasulullah dan terus menerima Islam sebagai anutan agamanya. Ammar telah mengajak bondanya Sumayyah dan ayahnya Yasir untuk menganut Islam. Seruan beliau telah disambut oleh kedua orang tuanya. Mereka bertiga termasuk antara sahabat yang paling awal menerima Islam.
Berita keislaman keluarga ini sampai ke pengetahuan Bani Makhzum. Mereka telah menyiksa ketiga-tiga beranak ini dengan pelbagai bentuk penyiksaan yang sangat kejam. Mereka telah dibawa di satu tempat penyiksaan di padang pasir lalu disiksa dengan memakaikan baju besi kemudian dijemur di tengah padang pasir, dipukul berganti-ganti tanpa belas ihsan, tidak diberi minum dan pelbagai lagi.
Akibat dari penyiksaan ini kulit mereka melepuh, kering, berdarah dan hilang segala kekuatan. Kemudianya Bani Makhzum meninggalkan mereka untuk meneruskan penyiksaan keesokkan harinya. Setiap kali mereka disiksa kafir Quraisy menyeru mereka kembali ke agama asal serta mahu mereka mengungkap kata-kata keji terhadap Rasulullah. Namun keimanan mereka terlalu tinggi mereka tetap dengan akidah yang benar.
Berita penyiksaan keluarga Yasir sampai kepada Rasulullah, Baginda datang melihat mereka dan hanya mampu mengungkapkan sebagaimana sabdanya,
صَتْرًاآلَ يَاسِرٍفَإِ نِّ مَوْعِدَكُمُ الْجَنَّةُ
Maksudnya : “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah syurga.
Dakwah Islam masih baru dan kemampuan untuk menentang musuh tidak kuat maka itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Baginda kepada keluarga Yasir. Dengan kehadiran dan ucapan Baginda keluarga Yasir menjadi tenang dan terus mempertahankan aqidah mereka.
Kafir Quraisy terus menyiksa keluarga ini sehinggalah akhirnya Yasir syahid dihadapan isterinya Sumayyah. Penyiksaan yang kejam telah meragut nyawa Yasir dan mereka beralih kepada Sumayyah pula. Abu Jahal yang merupakan syaitan besar telah berulang-ulang kali menyeru Sumayyah agar kembali kufur namun Sumayyah tetap dengan akidahnya menyebabkan Abu Jahal mengambil tombak dan telah menikam Sumayyah hingga mati. Sumayyah syahid dan beliau adalah wanita pertama yang syahid demi Islam.  Sebelum itu adik Ammar yang bernama Abdullah telah dicampakkan ke dalam api dan turut syahid. Kini semua kafir Quraisy tertumpu kepada Ammar pula, beliau disiksa dengan pelbagai bentuk kekejaman hingga adakalanya beliau hilang pertimbangan akal.
Satu hari Ammar yang disiksa dengan teruk hampir hilang pertimbangannya dan beliau telah mengungkap kata-kata kufur tanpa menyedarinya akibat dari siksaan yang dahsyat. Kesedihan menyelubungi diri Ammar apabila dia dibebaskan kerana telah mengungkap kata-kata kufur. Sehiggalah beliau menemui Rasulullah.
Diriwayatkan oleh Abu Nuaim dalam kitab al Hilyah dari Ubaidah bin Muhammad bin Ammar, katanya: orang-orang musyrik telah menangkap Ammar dan menyiksa Ammar. Mereka tidak menghentikan siksaannya sampai ia memaki Rasulullah dan memuji tuhan-tuhan mereka.
Ketika Ammar menemui Rasulullah beliau bertanya kepadanya, “Apa yang telah terjadi padamu?”
Jawab Ammar, “Kejahatan, wahai Rasulullah! Aku tidak dibebaskan oleh mereka hingga aku mencacimu dan menyebut kebaikan tuhan-tuhan mereka.”
Rasulullah bersabda, “Bagaimana hatimu dalam
keadaan itu?”
Jawab Ammar, “Hatiku merasa tenang dengan keimanan.”
Kata Rasulullah  “Jika mereka mengulangi perbuatan itu kepadamu, maka hendaknya kamu ulangi lagi apa yang telah kamu katakan kepada mereka.”
Kemudian berkata Rasulullah kepada Ammar, Allah telah menurunkan firmanNya khusus kepada Ammar atas apa yang berlaku.
مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. (An Nahl 16:106)
Kisah Bersambung …
Pos Terkait:  Apakah Swarovski Bisa Dijual Kembali?