Bagi melemahkan dakwah Rasulullah, kaum kafir Quraisy di Mekah mengubah strategi dengan melakukan penyiksaan kepada golongan mustadafin (golongan yang lemah) yang menerima dakwah Baginda. Pelbagai bentuk penyiksaan dilakukan kepada mereka hingga ke peringkat ada yang dibunuh dan mati syahid demi mempertahankan akidah. Antara para sahabat yang disiksa adalah seperti berikut:
Daftar Isi
Sembunyikan
*Bilal bin Rabah*
Namanya adalah Bilal Bin Rabah dan ibunya bernama Humamah. Beliau berketurunan Habsyah (Ethopia) yang lahir 3 tahun atau kurang dari tahun gajah. Beliau juga antara golongan awal yang memeluk Islam seangkatan dengan Ummul Mu’minin Khadijah binti Khuwalid, Abu Bakar As Siddiq, Ali bin Abu Talib, Ammar bin Yasir bersama ibunya, Sumayyah, Suhaib ar-Rumi dan al-Miqdad bin al-Aswad. Bilal adalah hamba kepada Umayyah bin Khalaf iaitu rakan kufar Abu Jahal.
Bilal telah mempelajari tentang Islam secara senyap-senyap melalui Rasulullah ketika dia mengembala kambing. Satu hari Umayyah bin Khalaf mengetahui tentang keislaman Bilal, maka dia menjadi marah dan telah melakukan penyiksaan demi penyiksaan kepadanya. Antaranya Bilal dipukul dengan kejam tanpa belas kasihan dengan amaran agar kembali kepada agama asal. Namun ianya tidak berjaya mematahkan keimanan Bilal. Tuannya tetap tidak berputus asa dan melakukan pelbagai tekanan dan siksaan agar keimanan Bilal luntur namun semuanya gagal. Bilal tetap menyebut ‘Ahad’, ‘Ahad’…..(Allah Yang Esa).
Umayyah telah mendapatkan pandangan dari Abu Jahal apa lagi yang perlu dibuat kepada Bilal kerana tetap berdegil tidak mahu menyebut tuhannya Al Laata dan Al Uzaa. Pada fikiran Umyyah dia mahu sahaja menamatkan riwayat hidup Bilal tetapi cadangan itu ditolak oleh Abu Jahal kerana jika Bilal mati sebenarnya merekalah yang tewas. Abu Jahal mencadangkan diletakkan Bilal di padang pasir yang panas terik agar dia mengalah dan memohon ampun kepada mereka dan kembali ke agama kufur.
Cadangan Abu Jahal dilaksanakan oleh Umayyah maka Bilal diletakkan dengan baju yang ditanggalkan di padang pasir yang panas terik. Mulut Bilal tidak henti-henti mengungkapkan Allah Yang Esa (Ahad, Ahad, Ahad). Abu Jahal datang melihat Bilal dengan harapan dia akan mengalah namun sebaliknya Bilal tetap dengan keimanannya kepada Allah. Kemarahan Abu Jahal meluap-luap dia memandang sekeliling apa yang boleh digunakan untuk mengazab Bilal. Akhirnya dia melihat ada batu yang besar, lalu dia memanggil orang sekeliling mengangkat batu tersebut dan diletakkan di atas dada Bilal. Bilal semakin sukar bernafas, ungkapan Allah Yang Esa semakin perlahan keluar dari mulutnya. Abu Jahal dan konco-konconya ketawa melihat Bilal dan mencaci makinya.
Amr bin al ‘Ash menceritakan, “Aku pernah melalui tempat Bilal ketika disiksa di padang pasir. Sekiranya sepotong daging diletakkan di atasnya, pasti daging itu akan masak. Ketika itu Bilal tetap mengatakan, “Saya mengingkari al-Lata dan Uzza.”
Berita tentang penyiksaan Bilal sampai ke pengetahuan Rasulullah dan Abu Bakar. Abu Bakar tidak berlengah lagi lalu terus menuju ke tempat penyiksaan Bilal dan mula memarahi Abu Jahal dan Umayyah Bin Khalaf. Kedua syaitan Quraisy ini tidak memperdulikan herdikan Abu Bakar bahkan meminta Abu Bakar tidak masuk campur kerana Bilal adalah hamba Umayyah dan itu haknya untuk menyiksa hambanya. Abu Bakar tidak mengalah dan mengatakan ini perbuatan yang kejam dan Bilal adalah sahabatnya. Abu Bakar berikrar beliau tidak akan berdiam diri dengan perbuatan kejam mereka. Seterusnya Abu Bakar menawarkan diri untuk membeli Bilal dari Umayyah. Setelah berbincang dengan Abu Jahal kemudiannya Umayyah setuju menjual Bilal kepada Abu Bakar.
Abu Bakar segera membayar sejumlah bayaran yang dipersetujui dan terus mendapatkan Bilal yang semakin menderita. Beliau telah meminta orang sekeliling membantu mengangkat batu di atas dada Bilal. Kemudiannya Abu Bakar membawa Bilal untuk mendapatkan rawatan dan dibawa bertemu Rasulullah. Bilal telah mengungkapkan kata-kata kepada Abu Bakar,
إِنْ كُنْتَ إِنَّمَا اشْتَرَيْتَنِي لِنَفْسِكَ فَأَمْسِكْنِي وَإِنْ كُنْتَ إِنَّمَا اشْتَرَيْتَنِي لِلَّهِ فَدَعْنِي وَعَمَلَ اللَّهِ
Maksudnya : Jika engkau membeli diriku untuk menjadi milikmu, maka tahanlah aku. Dan jika engkau membeli diriku kerana Allah, maka biarkanlah aku berbuat kerana Allah.(Riwayat al-Bukhari)
Abu Bakar telah memerdekakan Bilal di hadapan Rasulullah. Hebatnya Abu Bakar dan kuatnya Bilal dalam mempertahankan aqidah suatu yang sangat mulia yang tiada tandingnya. Bermula saat itu Bilal sentiasa mendampingi Rasulullah ke mana sahaja Baginda pergi. Di sini terjadilah keakraban Bilal dengan Baginda Rasulullah dengan didikan dari seorang Rasul….
kisah bersambung di bagian selanjutnya...