Abu Dzar Al-Ghifari Adalah Orang Selanjutnya Yang Masuk Islam Dari Penduduk Luar Makkah.

Posted on

Penduduk Luar Mekah Menganut Islam selanjutnya adalah Abu Zar al-Ghifari

 

Nama lengkapnya ialah Jundub bin Junadah Al Ghifari dan lebih dikenali dengan gelaran Abu Dzar. Abu Dzar merupakan termasuk juga dari golongan Assabiqunal Awwalun (Sahabat yang paling awal Islam). Al Ghifari adalah merupakan gelaran bagi Abu Dzar kerana ia berasal dari daerah Ghifar. Ghifar merupakan salah satu nama kabilah yang hebat dalam permusafiran perjalanan yang jaraknya sangat jauh dan tiada tandingannya serta keberanian meredah perjalanan pada waktu malam. Kabilah al Ghifari ini sangat tegas, keras dan tidak pernah gentar dengan apa-apa ancaman.
Abu Dzar telah mendengar perkhabaran tentang kebangkitan seorang Rasul di Mekah. Beliau merasa tidak tenteram selagi tidak mendengar dari sumber yang benar-benar sahih dan menyakinkannya. Menurut riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Abbas berkata, Abu Dzar telah menceritakan dengan katanya,
“Aku adalah seorang dari kabilah Bani Ghafir dan telah sampai kepada kami, telah muncul di Mekah seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Nabi. Maka dengan itu aku berkata kepada saudaraku, cuba kamu pergi tengok lelaki itu kemudian cuba kamu berbicara dengannya kemudian kamu kembali dan ceritakan apa yang kamu dapati.”
Dengan itu beliau pun bertolak ke sana dan bertemu dengan Rasulullah kemudian pulang segera. Tanya Abu Dzar kepada saudaranya itu,
“Apa yang kamu dapati?
Jawab saudaranya, “demi Allah sesungguhnya aku telah mendapati beliau adalah seorang lelaki yang sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan semata-mata serta melarang dari melakukan kejahatan,
Berkata Abu Dzar, “ceritamu itu tidak memuaskan. Kemudian aku mengambil seuncang air dan tongkat untuk bermusafir ke Mekah. Apabila aku tiba di sana, sebenarnya aku pun tidaklah mengenali orangnya (Rasulullah), namun aku tidak suka bertanya kepada sesiapa. Aku membuat perancangan iaitu memadai dengan minum air zam-zam dan duduk di dalam masjid (mencari Rasul tersebut)
Berkata Abu Dzar lagi, “Ali bin Abi Talib pun lalu di hadapanku dan beliau berkata kepadaku, “Tuan ini seperti orang yang  datang berdagang di sini.”
Jawabku, “ ya memang benar.”
Kemudian berkata Ali, “marilah ke rumahku.”
Lalu aku pun turut sahaja bersama-sama beliau tanpa beliau bertanya khabar mengenai diriku dan aku pun seperti itu juga tanpa bertanya kepadanya sesuatu serta tidak pula menceritakan hasratku yang sebenar kenapa datang ke Mekah ini. Bila hampir waktu subuh aku pun ke masjid untuk bertanya mengenai diri nabi Allah dan tidak seorang pun di situ, menceritakan kepada aku mengenainya,
Kemudian apabila Ali melalui di hadapanku, beliau berkata, “Wahai saudara! masih belum menemui tempat yang hendak dituju itu.
Jawabku, “masih belum lagi.”
Ali pun berkata, “marilah ikut aku, apa urusan kamu yang sebenar? Dan apakah yang membawa tuan datang ke negeri ini?”
Aku berkata kepada Ali, “sekiranya tuan boleh rahsiakan urusan aku ini bolehlah aku ceritakan.”
Jawab Ali, “aku cuba.”
Aku berkata kepadanya, “sebenarnya telah sampai kepada pengetahuan kami, bahawa di sini ada seorang yang telah mendakwa dirinya sebagai nabi Allah. Sebelum ini aku telah mengutus suadaraku untuk berbicara dengannya tetapi kepulangan saudaraku dengan maklumat terbatas itu tidak memuaskan hatiku, oleh itu aku hendak berjumpa dengan beliau sendiri.”
Kemudian Ali berkata, “kamu akan diberi petunjuk, sekarang aku hendak pergi menemuinya. Kamu ikut aku di mana aku masuk kamu masuk, sekiranya aku melihat seorang yang aku curigai, aku akan berhenti di tepi dinding pagar, seolah-olah hendak membetulkan tali kasutku, kamu teruskan sahaja.”
Setelah itu beliau berjalan dan aku mengikutinya dari belakang. Akhirnya aku masuk bersama beliau menemui Rasulullah dan aku berkata padanya, “silakan perkenalkan Islam kepada aku.
Baginda pun terus memperkenalkan Islam kepadaku lalu aku pun terus memeluk Islam. Tidak sempat berubah tempat, terus Baginda berkata kepadaku, “wahai Abu Dzar, hendaklah kau rahsiakan perkara ini (keislaman kamu), sekarang kamu boleh pulang dan apabila sampai kepada kamu berita tentang perkembangan dan kebangkitan kami, kamu boleh mengikut bersama kami.”
Aku berkata, “demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran akan aku ceritakan dan melaung di depan muka mereka.”
Dengan itu aku pun segera ke masjid, ketika ramai orang Quraisy berada di situ dan aku pun melaung,
“Wahai orang-orang Quraisy sekarang dengar dariku, sesungguhnya aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan pesuruhNya.”
Lalu mereka semua melaung, “cepat ada seorang lagi yang menukar agamanya.”
Kemudiannya mereka semua menerpa ke arah aku dan memukul aku separuh nyawa, hinggalah al-Abbas datang membebaskan aku. Kemudian beliau berkata dengan mereka, “binasalah kamu semua, kamu membelasah orang Ghifar ini? Perjalanan dan perniagaan kamu melalui perkampungan qabilah Ghifar.”
Lalu mereka pun melepaskan Abu Dzar, namun bila menjelang subuh di keesokkan harinya, aku fikir mahu lakukan seperti semalam sekali lagi. Aku pun terus melaung dengan laungan dua kalimah syahadah, sekali lagi pihak Quraisy telah menerkam ke arah aku kata mereka, “ayuh lanyak si pulan ini yang telah keluar dari agama itu.”
Mereka memukul diriku seperti semalam. Kemudian sekali lagi al-Abbas mendapatkan aku mendakap  dan berseru seperti beliau serukan kepada mereka semalam.
Peristiwa tindakan Abu Dzar ini telah sampai kepada Rasulullah, Baginda sekali lagi menyeru kepada Abu Dzar agar kembali ke kampungnya. Belum tiba lagi masa untuk bertindak lebih jauh lagi. Abu Dzar akur dan kembali ke kampungnya dan mula berdakwah mengajak mereka mentauhidkan Allah. Alhamdulillah seruan dakwah kepada kaumnya mendapat sambutan yang baik.
Dakwah Abu Dzar telah berjaya membawa kabilah al Ghifar masuk Islam. Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, beliau dan rombongan kemudiannya menuju ke Madinah. Ketika rombongan ini hampir memasuki Kota Mekah kedengaran bunyi kuat seperti buruh ianya kalimah takbir yang diungkapkan oleh mereka seolah-olah bunyi seperti kumpulan perang. Baginda Rasulullah s.a.w keluar untuk melihat rombongan ini dan dilihatnya kabilah al Ghifar terdiri dari kanak-kanak, pemuda, perempuan, lelaki dan orang tua semuanya memeluk Islam. Didapatinya Abu Dzar ada bersama.
Baginda kemudiannya bersabda, “tidak akan pernah lagi dijumpai di bawah langit ini, orang yang lebih benar ucapannya dari Abu Dzar. Benar batinnya, benar juga lahirnya. Benar akidahnya, benar juga ucapannya.”
Sepanjang tinggal di Madinah, Abu Dzar sentiasa mendampingi Rasulullah s.a.w. Beliau telah meminta untuk menjadi pegiring Baginda dan permintaannya di penuhi oleh Rasulullah s.a.w dengan senyuman. Ada yang menyatakan Baginda Rasulullah s.a.w amat senang sekali bila melihat Abu Dzar. Pada suatu hari Baginda telah berkata kepada beliau,
“Wahai Abu Dzar, kamu adalah seorang yang soleh, sungguh kamu akan ditimpa berbagai malapetaka sepeninggalku”.
Maka Abu Dzar pun bertanya, “apakah musibah itu sebagai ujian di jalan Allah?”
Rasulullah s.a.w pun menjawab : “Ya, di jalan Allah”.
Dengan penuh semangat Abu Dzar pun menyatakan, “selamat datang wahai malapetaka yang Allah taqdirkan”
Kesabaran Abu Dzar sangat hebat sehingga beliau terkenal dengan kezuhudan dan suka membantu golongan yang lemah. Harta dan kekayaan tidak pernah berbekas dalam hatinya. Ini kerana beliau berpegang teguh dengan kata-kata Rasulullah s.a.w ketika Baginda berwasiat kepadanya.
Telah berwasiat kepadaku orang yang amat aku cintai (iaitu Rasulullah s.a.w) dengan tujuh perkara,
1. Ia memerintahkan aku untuk mencintai dan mendekati kaum fakir miskin;
2. Ia memerintahkan aku untuk memandang kepada orang yang dibawah aku (dalam urusan dunia) dan tidak memandang kepada orang yang diatasku.
3. Ia memerintahkan aku menghubungkan silaturahim sekalipun aku telah membelakanginya.
5. Ia memerintahkan aku untuk tidak menaruh takut dalam berjuang pada jalan Allah terhadap celaan.
6. Ia memerintahkan aku untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.
7. Dan ia memerintahkan aku supaya banyak mengucapkan kalimah “La haula wala quawata illa billah.”  Kerana semua itu adalah simpanan yang terletak di bawah arasy.(Riwayat Ahmad)
Ketika Abu Dzar hampir menemui kematiannya, isterinya menangis dan bertanyalah beliau kenapa dia menangis. Isterinya berkata bahawa dia sedih kerana tidak tahu bagaimana hendak mengkafaninya kerana tiada sehelai kain kafan pun yang ada. Kemudian Abu Dzar pun menceritakan kisahnya bersama Rasulullah, beliau bersabda,
“Pastilah ada salah seorang di antara kamu yang akan meninggal di padang pasir liar, yang akan disaksikan nanti oleh satu rombongan orang-orang beriman…!”.
Orang yang dimaksudkan Rasulullah itu benarlah Abu Dzar kerana kemudian ada satu rombongan orang beriman yang melalui padang pasir yang berada di Rabadzah, seorang sahabat Abdullah bin Mas’ud. Abdullah bin Mas’ud menangis ketika melihat Abu Dzar telah meninggal dunia dan ia membenarkan ucapan Rasulullah pada saat perang Tabuk tentang Abu Dzar,
“Kamu berjalan sebatang kara…Mati sebatang kara….Dan dibangkitkan nanti sebatang kara…!”
Begitulah seorang sahabat yang bukan asalnya penduduk Mekah yang memeluk Islam dan menjadi manusia yang begitu mulia. Hidupnya sentiasa mendampingi Rasulullah sehingga Baginda wafat.
Pos Terkait:  Cara Memberi Makan Kepiting Pasir